Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC gesa lebih banyak sokongan bagi sara kos penjagaan kanak-kanak

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) hari ini (15 Feb) menggesa pemerintah supaya menyediakan lebih banyak sokongan bagi golongan ibu bapa daripada kelas pertengahan yang berdepan dengan kos penjagaan kanak-kanak yang kian meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC gesa lebih banyak sokongan bagi sara kos penjagaan kanak-kanak

(Gambar hiasan: MOE)

Diterbitkan : 15 Feb 2018 08:12PM Dikemas Kini : 15 Feb 2018 08:15PM

SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) hari ini (15 Feb) menggesa pemerintah supaya menyediakan lebih banyak sokongan bagi golongan ibu bapa daripada kelas pertengahan yang berdepan dengan kos penjagaan kanak-kanak yang kian meningkat.

Dalam kenyataan medianya, ia menekankan tentang bagaimana para pekerja terpaksa membuat pengorbanan - daripada segi kurang meluangkan masa bersama keluarga ataupun masalah kewangan - ketika ingin mempertingkat kemahiran mereka ataupun ketika menceburi bidang baru.

Ini khususnya bagi ibu bapa yang bekerja dan menyara anak-anak mahupun orang tua mereka.

Dalam saranannya bagi Belanjawan 2018, gerakan buruh itu menggariskan dua perkara yang boleh diperbaiki bagi membantu ibu bapa seperti itu.

MENINGKATKAN SUBSIDI PENJAGAAN KANAK-KANAK

Dengan yuran penjagaan kanak-kanak yang terus meningkat kebelakangan ini, NTUC menyatakan bahawa kenaikan harga yuran menjejas "keberkesanan subsidi-subsidi yang ditawarkan buat masa ini".

Ini terutama sekali bagi golongan pertengahan, yang tidak mempunyai akses kepada bantuan-bantuan tambahan.

Gerakan buruh itu menyarankan agar subsidi penjagaan asas kanak-kanak untuk membantu golongan pertengahan, diukur semula.

Ia juga menyatakan bahawa pendapatan keluarga (HHI) dan pendapatan per kapita (PCI) sebagai kriteria boleh "dinaikkan sejajar" dengan perbelanjaan keluarga yang kian meningkat.

HHI ialah S$9,023 pada 2017, naik dari S$8,846 pada tahun sebelumnya.

Ia menambah, semakan terkini terhadap subsidi asas dilakukan pada 2008.

Buat masa ini, semua kanak-kanak rakyat Singapura yang layak dan didaftarkan memasuki pusat penjagaan menerima subsidi sehingga S$300 bagi setiap bulan.

MELUASKAN SKOP SUBSIDI BAGI PENJAGAAN PELAJAR

Lebih banyak sokongan juga perlu disediakan bagi keluarga-keluarga yang mempunyai anak dalam sekolah rendah dan berdepan dengan masalah kos ataupun kekurangan tempat kosong bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

NTUC menyarankan supaya pemerintah menimbangkan untuk "menyediakan subsidi bagi 50 peratus ibu bapa yang bekerja mengikut pendapatan isi rumah". Ini bagi memastikan golongan pertengahan dapat menguruskan kos perkhidmatan penjagaan kanak-kanak selepas waktu sekolah.

Ia khususnya menarik perhatian tentang HHI dan PCI yang harus dinaikkan agar lebih ramai keluarga dapat meraih manfaat daripada subsidi itu.

Buat masa ini, subsidi hanya disediakan kepada keluarga-keluarga dengan pendapatan kasar bulanan sehingga S$4,000. Atau, PCI tidak melebihi S$1,000 melalui skim ComCare yang disediakan bagi 20 peratus keluarga dengan pendapatan rendah.

Subsidi bagi penjagaan pelajar diperbaiki sejak 1 Januari 2016 berdasarkan yuran lebih tinggi iaitu S$290.

NTUC menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) sudah mengumumkan rancangannya untuk membangunkan pusat penjagaan pelajar di setiap sekolah rendah menjelang 2020. Sementara itu, sesetengah ibu bapa kini perlu menempatkan anak-anak mereka di pusat-pusat privet dan membayar kos pengangkutan tambahan.

Pusat-pusat di sekolah yang dikendalikan pertubuhan kebajikan sukarela atau operator komersil, umumnya mengenakan bayaran kurang S$300 setiap bulan sementara yuran pusat penjagaan di luar sekolah boleh mencecah S$500 sebulan.

Encik Desmond Choo, Pejuang NTUC bagi Wanita dan Keluarga, berkata ibu bapa yang bekerja berada di "fasa yang penting dalam kehidupan mereka" di mana mereka perlu menguruskan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa di samping kerjaya mereka.

Beliau menambah, pemerintah dan rakan kongsi industri perlu bersama-sama tampil ke depan untuk "memikirkan kembali, menyemak dan mengukur semula jaringan sokongan yang sedia ada yang mungkin tidak lagi relevan" bagi ibu bapa yang bekerja.

Ini khususnya bagi golongan pertengahan "yang berdepan dengan masalah kewangan bagi memenuhi pelbagai keperluan keluarga", tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan