Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC Foodfare akan ambil tindakan guaman terhadap The Independent Singapore kerana rencana berunsur fitnah

Perusahaan sosial NTUC Foodfare menyatakan semalam (21 Nov) bahawa ia akan mengambil tindakan guaman terhadap laman sosiopolitik, The Independent Singapore (TISG), kerana menerbitkan rencana-rencana yang berunsur fitnah.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC Foodfare akan ambil tindakan guaman terhadap The Independent Singapore kerana rencana berunsur fitnah

NTUC Foodfare. (Gambar: Fann Sim)

Diterbitkan : 22 Nov 2018 04:04PM Dikemas Kini : 22 Nov 2018 04:12PM

SINGAPURA: Perusahaan sosial NTUC Foodfare menyatakan semalam (21 Nov) bahawa ia akan mengambil tindakan guaman terhadap laman sosiopolitik, The Independent Singapore (TISG), kerana menerbitkan rencana-rencana yang berunsur fitnah.

Pada Selasa (20 Nov), para peguam yang mewakili NTUC Foodfare mengirimkan surat kepada TISG bagi menuntutnya supaya meminta maaf dan menurunkan dua rencana serta catatan-catatan Facebooknya sebelum pukul 3.00 petang semalam (21 Nov).

Rencana-rencana itu, yang masih belum diturunkan sehingga kini, mendakwa bahawa seorang penjaja warga tua meninggal dunia setelah bekerja selama 18 jam sehari manakala seorang lagi penyewa gerai didenda S$3,500 kerana tidak mengendalikan gerainya selama beberapa hari akibat 'kecederaan'.

Memberi respons kepada kiriman surat itu, penerbit TISG Kumaran Pillai berkata semalam (21 Nov) bahawa rencana-rencana berkenaan adalah berdasarkan 'fakta-fakta relevan' dan ia tidak akan menurunkan rencana-rencana itu sebelum tamat tempoh yang ditetapkan kerana ia memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

Encik Pillai menambah bahawa rencana-rencana itu hanya akan diturunkan sekiranya NTUC Foodfare membuktikan bahawa ia adalah 'palsu dan tidak berasas sama sekali'.

Mengenai rencana pertama yang diterbitkan, NTUC Foodfare memberitahu Mediacorp bahawa ia mengandungi beberapa dakwaan palsu mengenai perusahaan sosial itu yang ternyata berunsur fitnah.

Rencana yang diterbitkan pada Isnin (19 Nov) mendakwa bahawa seorang penjaja warga tua yang bekerja di sebuah pusat makanan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi meninggal dunia akibat keletihan setelah bekerja syif selama 18 jam.

"Rencana itu tidak tepat dan mengelirukan serta mengandungi beberapa dakwaan palsu, yang ternyata berunsur fitnah terhadap kami. Maklumat palsu seumpama itu yang disebarkan secara online boleh meninggalkan kesan-kesan sosial yang negatif," kata seorang jurucakap NTUC Foodfare.

"Kami sudahpun menangani maklumat palsu itu dengan mengeluarkan kenyataan secara online. Sebagai perusahaan sosial yang bertanggungjawab, kami akan mengambil tindakan guaman terhadap para penerbit berita palsu seumpama itu."

NTUC Foodfare turut menerangkan insiden dengan penyewa gerai yang kedua dalam kenyataan media keduanya yang dikeluarkan pada hari yang sama.

Rencana kedua yang diterbitkan oleh TSIG mendakwa bahawa NTUC Foodfare mengenakan denda S$3,500 terhadap seorang penyewa gerai kerana beliau gagal mengendalikan gerainya selama beberapa hari.

Menurut para pegawai NTUC Foodfare, kedua-dua rencana serta catatan Facebook itu sudah dikongsi lebih 7,000 kali dan menerima hampir 300 komen. Mereka menambah bahawa rencana-rencana juga "memperkecilkan NTUC serta menjejas kewibawaan dan reputasinya serta menyebabkan kerosakan, kebimbangan dan rasa malu."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan