Images
  • ntuc
    NTUC akan menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja lebih awal daripada jadual. (Gambar: MCI)

NTUC akan naikkan usia persaraan, pengambilan semula pekerja lebih awal daripada jadual

SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menyatakan hari ini (8 Nov) bahawa ia akan mula menaikkan had usia persaraan dan pengambilan semula pekerja, masing-masing kepada 63 tahun dan 68 tahun, mulai Januari 2021 iaitu setahun setengah lebih awal daripada jadual nasional.

Langkah menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja itu akan melibatkan Unit Pentadbiran dan Penyelidikan NTUC dahulu, sebelum dilaksanakan di 12 perusahaan sosial gerakan buruh itu mulai Julai 2021.

Langkah itu diambil setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ogos lalu bahawa usia persaraan di Singapura akan dinaikkan dari 62 tahun kepada 63 tahun pada 2022, dan kepada 65 tahun menjelang 2030.

Usia pengambilan semula pekerja juga akan dinaikkan dari 67 tahun kepada 68 tahun pada 2022, dan kepada 70 tahun menjelang 2030.

Sekitar 430 kakitangan NTUC dan perusahaan-perusahaan sosialnya dijangka meraih manfaat daripada langkah menaikkan usia persaraan lebih awal, menurut NTUC.

Langkah menaikkan usia pengambilan semula pekerja dengan lebih awal pula dijangka memberi manfaat kepada sekitar 280 pekerja.

Gerakan buruh menggajikan sekitar 2,400 pekerja melebihi had usia persaraan sedia ada iaitu 62 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat selaku tetamu terhormat di satu dialog antara para pemimpin 4G dengan sekitar 150 pemimpin kesatuan pada Khamis (7 Nov), berkata beliau "berbesar hati" dengan "amalan mesra usia di tempat kerja" yang dilaksanakan NTUC.

Turut menghadiri dialog itu ialah Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran dan Menteri Negara Tenaga Manusia dan Pembangunan Negara Zaqy Mohamad. 

- CNA/AI/ai

Top