Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTU, Facebook bakal lancar program spesialis, graduan pusat data

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Facebook akan melancarkan program rintis selama sembilan bulan bagi menawarkan kursus-kursus baru, yang bertujuan membangunkan bakat tempatan dalam kejuruteraan, pengurusan pusat data.

Anggaran Waktu Membaca:
NTU, Facebook bakal lancar program spesialis, graduan pusat data

Gambar fail di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: Alif Amsyar)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 04:10PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 04:12PM

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Facebook akan melancarkan program rintis selama sembilan bulan bagi menawarkan kursus-kursus baru, yang bertujuan membangunkan bakat tempatan dalam kejuruteraan, pengurusan pusat data.

Program tersebut, yang bermula Ogos ini, akan menawarkan empat sijil spesialis dan satu sijil graduan, menurut universiti itu dan Facebook dalam kenyataan medianya pada Isnin (1 Jun).

Empat sijil spesialis itu terdiri daripada kejuruteraan reka bentuk, kejuruteraan rangkaian, operasi tapak dan operasi kemudahan, manakala sijil graduan itu adalah dalam bidang pengurusan binaan antarabangsa.

Kursus-kursus tersebut dibangunkan bersama Kolej Kejuruteraan universiti itu dan bertujuan melatih bakat kejuruteraan tempatan bagi mengisi permintaan bertambah dalam industri pusat data, jelas kenyataan media itu.

Kursus-kursus itu akan dibuka kepada orang ramai, dan layak bagi pendanaan serta subsidi pertengahan kerjaya dari SkillsFuture Singapore.

"Kami bangga dapat menyumbang ke arah membangunkan bakat tempatan dalam sektor pusat data melalui kerjasama dengan Facebook," kata timbalan presiden NTU dan provos Ling San.

"Dengan kepakaran mendalam NTU dalam teknologi yang kian membangun dan kepakaran Facebook dalam pusat data, program-program pensijilan baru ini akan dapat meraih manfaat daripada pendidikan bertaraf dunia dan peluang pekerjaan masa depan.

Penyedia pengurusan kemudahan pusat data CBRE Data Centre Solutions juga akan menawarkan latihan dan nasihat laluan kerjaya bagi peserta kursus, menurut NTU dan Facebook.

"Para graduan daripada program rintis ini akan dapat meneroka kerjaya dalam sektor pusat data atau dalam sektor-sektor kejuruteraan relevan yang lain," katanya.

Facebook melahirkan harapan program-program itu dapat membantu para penuntut "mendalami" pembelajaran tentang bagaimana untuk membangun dan mengendalikan pusat-pusat data yangccekap, kata Encik Gavin Chua, ketua pendampingan prasarana di Asia.

Pada 2018, Facebook mengumumkan pembinaan pusat data pertama di Singapura, bernilai lebih S$1.4 bilion. Pusat berkenaan dijadualkan beroperasi pada 2022.

Selepas program sembilan bulan itu, Pusat bagi Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan NTU akan secara bertahap-tahap memperkenalkan lebih banyak kursus, yang "berpotensi melibatkan lebih banyak pemain industri pusat data".

Pusat tersebut juga akan berunding dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media dan pihak-pihak berkepentingan industri "bagi memenuhi keperluan khusus para pemilik perniagaan dan karyawan yang bekerja dalam sektor itu," menurut NTU.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan