Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTU dikecam tidak benarkan siswa, kakitangan fakulti terkandas di luar negara ikuti kelas online

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berdepan kecaman kerana ia satu-satunya universiti utama di Singapura yang mana mahasiswa dan kakitangan fakultinya yang terkandas di luar negara tidak boleh mengikuti atau mengendalikan kelas secara online sehingga mereka boleh memasuki Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
NTU dikecam tidak benarkan siswa, kakitangan fakulti terkandas di luar negara ikuti kelas online

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 11:22PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 11:24PM

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berdepan kecaman kerana ia satu-satunya universiti utama di Singapura yang mana mahasiswa dan kakitangan fakultinya yang terkandas di luar negara tidak boleh mengikuti atau mengendalikan kelas secara online sehingga mereka boleh memasuki Singapura.

Universiti-universiti lain yang dihubungi Mediacorp menyatakan mereka membenarkan profesor dan mahasiswa yang terkas di luar negara mengadakan dan menghadiri kelas secara maya.

KAKITANGAN FAKULTI TERKANDAS, SISWA MULAKAN

Seorang anggota fakulti NTU berkata beliau pulang ke negara asalnya atas urusan keluarga namun sejak itu tidak dapat kembali ke Singapura disebabkan oleh sekatan sempadan yang ketat di sini. Oleh demikian, beliau berkata NTU meletakannya di bawah cuti tidak berbayar.

Anggota fakulti itu yang tidak mahu dinamakan kerana tidak mahu menjejas hubungannya dengan sekolah itu, berkata dasar tersebut "seharusnya boleh dilakarkan dengan lebih baik".

Menurutnya, terdapat beberapa pelatih yang terpaksa membatalkan kursus mereka disebabkan oleh ketidaktentuan dari segi sama ada mereka dapat kembali ke Singapura atau tidak. Namun, apabila mereka mendapat kelulusan masuk dan kembali ke Singapura, mereka "tidak diperuntukkan kelas mengajar bagi penggal ini".

Beliau menambah pihak sekolah sedang cuba untuk membantunya mendapatkan kelulusan masuk ke negara ini, namun beliau belum menerima apa-apa khabar berita setakat ini.

Beliau masih menaruh harapan dapat memasuki Singapura dalam masa terdekat ini dan meneruskan kelas. Buat sementara ini, beliau memuat naik rakaman kuliah melalui online sementara seorang penolong pengajar menjalankan kelas secara fizikal.

"Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan jika saya tidak mendapat kelulusan masuk ini secepat mungkin," katanya.

Sebuah petisyen yang dimulakan seseorang yang mendakwa dirinya siswa NTU, menggesa universiti itu membenarkan siswa antarabangsa melakukan pembelajaran dari rumah.

"Membuat aturan bagi pembelajaran dari rumah menjadi amalan biasa bagi hampir semua universiti global," menurut petisyen itu yang ditandatangani 400 individu setakat Rabu.

Ia mengusulkan NTU melaksanakan amalan itu supaya pelajar antarabangsa dan fakulti tidak "dihukum" kerana memutuskan untuk pulang ke negara asal masing-masing.

NTU SOKONG SISWA ANTARABANGSA, ATURAN PERLINDUNGAN KETIDAKHADIRAN BAGI FAKULTI

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, seorang jurucakap NTU berkata pihak universiti "sedang mendampingi dan membantu siswa antarabangsa dan kakitangan yang tidak dapat kembali atau memasuki Singapura kerana sekatan sempadan sedia ada."

Jurucakap itu berkata bahawa sebahagian besar siswa antarabangsa sudah kembali atau akan pulang bagi penggal akademi yang baru.

Bagi pelajar yang tidak dapat pulang semula, universiti itu menghulurkan bantuan dengan misalnya, membenarkan markah kredit dari kursus-kursus online tertentu dipindahkan kepada kursus pengajian terjejas.

"Siswa yang tidak dapat pulang ke Singapura juga tidak perlu membayar yuran tuisyen bagi penggal itu," kata jurucakap itu.

Bagi anggota fakulti, NTU menyatakan terdapat segelintir yang tidak dapat pulang kerana sekatan sempadan sedia ada. Universiti itu sudah membuat aturan bagi perlindungan ketidakhadiran supaya pelajar dapat teruskan dengan pembelajaran mereka.

Bagaimanapun, NTU tidak mengesahkan sama ada anggota fakulti yang tidak dapat pulang dikenakan cuti tidak berbayar.

Universiti-universiti lain yang dihubungi Mediacorp menyatakan mereka membenarkan kelas-kelas online diteruskan, meskipun jika anggota fakulti dan siswa tidak dapat pulang ke Singapura.

Seorang jurucakap Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata anggota fakultinya yang sedang menunggu kelulusan masuk untuk pulang semula ke Singapura boleh terus mengendalikan kelas dari luar negara.

"Sekiranya mereka tidak dapat berbuat demikian, pihak universiti akan/ada aturan alternatif bagi memastikan kelas tidak terganggu," kata jurucakap itu.

NUS juga akan membantu mahasiswa yang tidak dapat menghadiri kelas secara fizikal melalui pembelajaran online, menurut jurucakap itu.

Seorang jurucakap Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata ia akan mengadakan semua kelas profesional mahasiswa dan lepasan ijazah secara online "sehingga notis lanjut".

Anggota fakulti yang tidak dapat pulang ke Singapura boleh terus mengadakan kelas dari luar negara sepanjang tempoh ini, kata jurucakap itu. SMU juga maklum bahawa ada pelajar yang masih tidak dapat pulang ke Singapura dan akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka.

Di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), sebilangan besar kelas diadakan secara online dan pihak fakulti dibenarkan untuk mengendalikan kelas secara maya.

"Para pelajar yang terkandas di luar negara juga boleh mengikuti kelas online," kata seorang jurucakap SUSS. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan