Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTA beri saranan model kendali teksi “ikut perkembangan terkini”

Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) sudah memberikan beberapa saranan untuk membantu para pemandu “sentiasa mengikuti perkembangan terkini”.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2018 11:01AM Dikemas Kini : 17 Feb 2018 12:38AM

SINGAPURA: Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) sudah memberikan beberapa saranan untuk membantu para pemandu “sentiasa mengikuti perkembangan terkini”.

Menurut NTA dalam kenyataan medianya hari ini (16 Feb) industri khidmat teksi perlu melangkah menjangkaui model operasi yang sedia ada sedang ia terus berubah-ubah.

NTA menyatakan sejak wadah-wadah khidmat tempahan kenderaan berdasarkan aplikasi menembusi pasaran tempatan, ia menggesa Pemerintah dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri teksi supaya bekerjasama dengan para pemandu untuk menyesuaikan diri dengan persaingan dan landskap yang kian berubah.

Lantaran itu, perubahan-perubahan pada cara teksi disewakan boleh membawa manfaat. Menurut NTA model sewa teksi sebahagian besarnya masih sama seperti 30 tahun dahulu, di mana para pemandu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas teksi yang disewa berdasarkan tempoh 24 jam.

“Secara realistik, kebanyakan pemandu hanya menggunakan teksi tidak melebihi 14 jam sehari. Kenderaan mereka sama ada dibiarkan tidak dipandu selama baki beberapa jam itu atau pemandunya dibelenggu masalah mencari pemandu ganti untuk membiayai kos,” menurut NTA.

Ia menambah para pemandu masih perlu menanggung bayaran sewa meskipun pada hari cuti atau sekiranya mereka jatuh sakit.

Disebabkan itu, para pengendali teksi boleh menimbangkan untuk menawarkan lebih banyak kelonggaran dari segi sewa kenderaan, yang akan dapat membantu para pemandu teksi memanfaatkan sepenuhnya penggunaan kenderaan mereka.”

NTA turut menyarankan kemungkinan menawarkan kenderaan-kenderaan dengan ciri-ciri standard, dilengkapi teknologi-teknologi bijak dan lain-lain peningkatan.

“Ciri-ciri seperti itu akan dapat mempertingkat keupayaan pemandu untuk lebih bijak memandu dan selamat di jalan raya. Dengan penduduk yang semakin menua, semua teksi juga perlu lebih mesra warga tua dan juga mesra kerusi roda,” menurut NTA lagi.

Ia menambah, jika seluruh industri menawarkan kenderaan dengan ciri-ciri sama, ini akan membantu mengurangkan kos serta memudahkan penyenggaraan.

Akhir sekali, NTA menyarankan agar para pemandu teksi mempelajari tentang perkembangan baru industri, peraturan dan pengetahuan penting.

“Misalnya, kurikulum itu boleh fokus mengajar para pemandu tentang cara-cara menggunakan peralatan baru untuk mencari cara ke satu-satu destinasi dan bukan cara menggunakan direktori jalan. Sudah tiba masanya untuk pihak-pihak berkepentingan dan pengawal industri bersatu untuk mengemas kini cara latihan dikendalikan,” menurut NTA.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan