Images
  • state court
    Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

NSF positif COVID-19 dipenjara 18 minggu; langgar syarat cuti sakit & keluar rumah

SINGAPURA: Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) diarahkan sebanyak dua kali supaya duduk di rumah setelah mengalami jangkitan saluran pernafasan atas namun, dia keluar sebelum keputusan ujian swabnya diketahui.

Dia diuji positif COVID-19 pada ujian kali kedua dan meninggalkan rumah selama 10 jam untuk meluangkan masa di taman meluncur papan di Somerset serta Bugis Junction.

Fathullah Abdul Rahman, 22 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 18 minggu pada Isnin (11 Okt). Dia mengaku bersalah ke atas dua tuduhan meninggalkan rumah ketika di bawah syarat-syarat cuti sakit. Dua lagi tuduhan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Fathullah sedang menjalani perkhidmatan negara ketika dia melakukan kesalahan-kesalahan itu tahun lalu.

Dia melawat Pusat Perubatan Kompleks Akademi Pertahanan Awam pada pagi 2 September 2020, mengadu dirinya muntah dan mengalami sakit tekak. Seorang doktor kemudian memberi diagnosis dengan menyatakan dia mengalami jangkitan saluran pernafasan atas dan gastritis.

Fathullah mengambil ujian swab hidung bagi COVID-19 dan diberikan cuti sakit yang memerlukannya untuk mematuhi undang-undang dengan duduk di rumah selama tiga hari. Dia boleh meninggalkan rumah hanya selepas menerima ujian negatif bagi ujian swabnya.

Keesokan harinya, Fathullah meninggalkan rumahnya pada sebelah pagi untuk berjumpa dengan rakannya di Stesen MRT Bedok. Dia melakukan perjalanan ke Kallang bersama rakannya itu dan meluangkan masa bersama di sana. Dia hanya pulang ke rumah sekitar pukul 8.00 malam.

Dia menerima keputusan negatif bagi ujian swabnya hanya pada keesokan hari.

Pada 17 September 2020, Fathullah melawat Pusat Perubatan Kompleks Akademi Pertahanan Awam sekali lagi kerana dia mengalami hidung berair, sakit tekak dan batuk.

Dia mengambil ujian swab hidung sekali lagi dan diberikan cuti sakit tiga hari. Dia sekali lagi diberitahu bahawa dia mesti duduk di rumah semasa tempoh MC itu dan boleh meninggalkan rumah hanya selepas menerima hasil ujian swab yang negatif.

Bagaimanapun, Fathullah keluar rumah pada keesokan hari dan menaiki kereta api ke taman meluncur papan di 1 Somerset Road. Setelah itu, dia membuat perjalan ke Bugis Junction dan bersiar-siar di sekitar kawasan itu.

Dia hanya pulang ke rumah sekitar jam 10.00 malam dan meluangkan masa kira-kira 10 jam di luar tanpa alasan yang munasabah.

Pada pagi 19 September 2020, Fathullah menerima hasil ujian swabnya yang kembali positif COVID-19. Dia dibawa menaiki ambulans ke hospital di mana dia dimasukkan ke wad selama empat hari sebelum menjalani kuarantin di D'Resort di Pasir Ris sehingga 27 September 2020.

Seorang pegawai bersama pusat pengesanan kontak Kementerian Kesihatan (MOH) mengirimkan emel kepada kementerian itu pada 20 September 2020 untuk memaklumkan Fathullah keluar rumah semasa tempoh cuti sakitnya.

Bagi setiap tuduhan melangar peraturan di bawah Peratuan (Perintah Duduk di Rumah COVID-19) Penyakit Berjangkit, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

- CNA/FZ/fz

Top