Images
  • dave lee
    Gambar Dave Lee. (Gambar: Howard Liaw)

NSF Dave Lee anak baik, selalu buat yang terbaik, kata ibunya

SINGAPURA: Prebet Dave Lee, Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang meninggal dunia pada Isnin selepas mengalami kecederaan haba, ialah 'seorang anak yang sangat baik' yang selalu berusaha melakukan yang terbaik, kata ibunya, Cik Jasmine Yeo kepada media hari ini (2 Mei).

"Beliau memang anak yang sangat baik. Beliau selalu berkelakuan penuh hormat. Beliau akan berusaha sedaya upaya untuk membantu keluarga pada bila-bila masa yang termampu," kata Cik Yeo di satu sidang media yang diadakan bersebelahan tempat upacara persemadian anak lelakinya itu di kolong blok kondominium keluarganya, Ivory Heights, di Jurong East.

Ditanya tentang kenangan yang paling diingati, beliau berkongsi, anaknya yang berusia 19 tahun itu akan memeluk dan mengucupnya setiap kali beliau pulang atau keluar rumah untuk ke kem.

Jumaat lalu (27 Apr), keluarganya membuat keputusan untuk mendermakan organ-organ Dave dengan berkata: "Kami benar-benar ingin beliau memberi sumbangannya yang terbaik sehingga ke hujung hayatnya".

Keluarga Dave mendermakan korneanya dengan mengharapkan penerimanya akan terus 'melihat dunia bersama Dave'.

Namun, keluarganya enggan mengulas tentang hal-hal berkaitan kematiannya. Sebaliknya, mereka berkata mereka ingin menumpukan perhatian kepada "urusan persemadiannya" dahulu.

Prebet Lee meninggal dunia pada Isnin, hampir dua minggu setelah dimasukkan ke hospital dengan "tanda-tanda kecederaan haba" selepas menamatkan kegiatan berbaris pantas sejauh lapan kilometer.

Beliau dibawa ke pusat perubatan Kem Bedok dan kemudian dimasukkan ke Hospital Besar Changi di mana beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bagaimanapun menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) keadaannya bertambah teruk sebelum beliau meninggal dunia.

Seperti kematian lain berkaitan latihan, sebuah Jawatankuasa Siasatan bebas akan menyiasat insiden berkenaan.

"Sekiranya terdapat sebarang pencabulan keselamatan latihan, kakitangan yang bertanggungjawab akan dipertanggungjawabkan", menurut Ketua Turus Kakitangan Am BG Siew Kum Wong.

Lee akan disemadikan dengan upacara persemadian tentera dan dinaikkan pangkat anumerta kepada Korporal Kelas Pertama.

Cik Yeo berkata; "Persemadian tentera itu adalah hasrat kami untuk Dave kerana saya fikir, itulah yang beliau sangat inginkan."

Ditanya jika ada lagi yang boleh dilakukan selain kenaikan pangkat dan upacara persemadian itu, beliau menjawab: "Saya tidak dapat menjawab soalan anda. Apakah yang akan cukup kalau beliau tidak akan kembali lagi?"

- CNA/SM/sm

Top