Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NParks bangunkan sistem kesan, pantau kebakaran hutan simpanan

Lembaga Taman Negara (NParks) sedang membangunkan sistem pengesanan dan pemantauan kebakaran hutan untuk hutan-hutan simpanan Singapura, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
NParks bangunkan sistem kesan, pantau kebakaran hutan simpanan

Kebakaran belukar dekat tanah perkuburan Lim Chu Kang pada 4 Mac 2019 (Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 01:18PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 01:22PM

SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) sedang membangunkan sistem pengesanan dan pemantauan kebakaran hutan untuk hutan-hutan simpanan Singapura, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Isnin (4 Okt).

Sistem tersebut menggunakan kamera litar tertutup, dron dan analitik video untuk membantu para pegawai NParks mengesan kebakaran dan mendapatkan maklumat masa nyata mengenai kejadian itu dengan pantas.

"Sistem ini akan mempertingkatkan keberkesanan rejim pemantau kebakaran NParks dan membolehkan NParks dan SCDF untuk melancarkan tindak balas yang lebih pantas sekiranya berlaku kebakaran," kata Encik Lee dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan AP Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) .

Dr Lim bertanya tentang langkah-langkah yang diambil untuk mencegah kebakaran di hutan simpanan dan taman-taman di Singapura, sedang negara ini mengalami suhu dan iklim yang lebih panas.

Langkah-langkah lain juga sudah dilakarkan untuk mencegah kebakaran belukar dan hutan, terutama semasa musim kering, kata Encik Lee. Ini termasuk mencantas pokok-pokok, membersihkan serpihan kayu dan mengekalkan 'firebreak' - jurang tumbuh-tumbuhan untuk memperlahankan atau menghentikan api daripada merebak.

Para pegawai NParks juga melakukan rondaan di kawasan-kawasan yang lebih berisiko mengalami kebakaran, sambil mengetatkan lagi penguatkuasaan terhadap merokok dan pembakaran tanpa izin semasa musim kering.

Selain itu, NParks turut bekerjasama dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan agensi-agensi pengurusan tanah yang lain untuk menyemak semula langkah-langkah keselamatan kebakaran dengan kerap.

Papan-papan tanda juga dipasang untuk mendidik orang ramai tentang cara-cara mencegah kebakaran belukar dan hutan, seperti tidak merokok di hutan simpanan dan tidak meninggalkan kebakaran terbiar di tapak perkhemahan dan tempat barbeku.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan