Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Novavax mohon vaksin bukan mRNA keluarannya diluluskan di S'pura

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Novavax mengumumkan ia sudah memfailkan permohonan untuk meluluskan vaksin COVID-19 keluarannya di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Novavax mohon vaksin bukan mRNA keluarannya diluluskan di S'pura

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 25 Nov 2021 12:06PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 12:07PM

SINGAPURA: Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Novavax mengumumkan ia sudah memfailkan permohonan untuk meluluskan vaksin COVID-19 keluarannya di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) Singapura.

Dalam kenyataannya pada Rabu (24 Nov), Novavax menyatakan bahawa ia sudah membuat permohonan bagi mendapatkan vaksin keluarannya yang berasaskan protein, NVX-CoV2373, dinilai oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HSA turut mendedahkan bahawa Novavax sudah menyerahkan data bagi permohonan PSAR untuk vaksinnya pada 22 November.

"HSA sudah mula menilai data secara menyeluruh dan berhati-hati bagi memastikan vaksinnya memenuhi syarat-syarat mutu, keselamatan dan keberkesanan bagi mendapatkan kelulusan sementara sebelum ia diluluskan untuk digunakan di Singapura," dedah HSA.

BEBERAPA MINGGU HINGGA BERBULAN-BULAN

Menurut HSA, masa yang diambil bagi menjalankan penilaian itu bergantung kepada "kesempurnaan" data yang diserahkan untuk disemak serta masa yang diambil oleh Novavax untuk menjawab pertanyaan tentang isu-isu yang mungkin timbul semasa proses penilaian.

"Garis masa penilaian mungkin mengambil masa selama beberapa minggu, jika data yang diberikan lengkap dan mematuhi piawai yang ditetapkan, hingga berbulan-bulan jika terdapat kekurangan data dan isu ketidakselarasan," menurut HSA.

Satu kemas kini akan diberikan sebaik sahaja keputusan kawal selia diperolehi, menurut HSA lagi.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan