Images
  • mrt file shot
    Gambar fail gerabak MRT (Gambar: TODAY)

NMP gesa pemerintah laksana jarak selamat dalam pengangkutan awam

SINGAPURA: Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) menggesa agar langkah-langkah diambil bagi memastikan penumpang dapat mengekalkan jarak yang selamat antara satu sama lain dalam pengangkutan awam semasa pandemik COVID-19.

NMP Mohamed Irshad memberitahu Parlimen pada Rabu (25 Mac) bahawa di stesen MRT dan di perhentian bas, orang ramai masih beratur pada jarak dekat antara satu sama lain semasa waktu sibuk dan tidak sibuk.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa memberi lebih pertimbangan pada langkah-langkah seperti menghadkan tempat duduk di kereta api dan bas.

NMP Anthea Ong berkata beliau ialah seorang penumpang pengangkutan awam dan tidak melihat sebarang perubahan dari segi langkah-langkah jarak selamat di rangkaian pengangkutan awam.

Menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata, beliau bersetuju bahawa langkah-langkah jarak selamat perlu dilaksanakan di pengangkutan awam, namun keutamaannya sekarang adalah untuk mengurangkan bilangan penumpang.

"Sekiranya bilangannya masih tinggi, memperuntukkan jarak selamat di dalam kereta api atau bas akan bererti orang yang beratur akan beralih ke tempat lain," kata Encik Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak khas pemerintah yang menangani virus itu.

"Ia akan ada di perhentian bas. Ia akan ada di luar stesen kereta api. Masih ada perhimpunan berlaku, jadi ... sebelum kita bercakap tentang langkah-langkah dalam kereta api, di tangga-tangga bergerak, (di) stesen dan semua itu - semuanya memang perlu - kita harus mengurangkan jumlah dahulu. "

KERJA DARI RUMAH PATUT DIJADIKAN STANDARD

Untuk mengurangkan bilangan penumpang pengangkutan awam, Encik Wong berkata satu-satunya penyelesaian adalah untuk tempat kerja membolehkan telekerja atau waktu waktu kerja berperingkat.

Meskipun lebih ramai majikan membenarkan kakitangan untuk berbuat demikian, ada yang masih enggan dan mahu pekerja mereka berada di pejabat "walhal sebenarnya mereka boleh bekerja dari rumah", tambah beliau.

Menggesa semua firma untuk menggunakan telekerja, Encik Wong berkata: "Semua tempat kerja mesti menggunakan telekerja sebagai standard sewajarnya."

Pemerintah, khususnya Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Kementerian Tenaga Manusia, akan menggesa majikan untuk "menganjurkan dengan lebih agresif" usaha ini untuk menghadkan pergerakan pekerja dan kontak dengan orang lain.

"Ini adalah satu-satunya cara untuk membolehkan rakyat Singapura terus bekerja, sambil menghadkan pergerakan dan kontak mereka di luar. Dan juga inilah cara bagaimana kita dapat mengurangkan beban sistem pengangkutan awam kita, terutamanya pada waktu sibuk."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/TQ/tq

Top