Images
  • book
    Buku panduan tentang cara mempersiapkan diri dan menangani serangan pengganas yang akan diagihkan ke tempat-tempat beribadat. 

NLB perkenal modul 30 minit ajar pemimpin agama kenal pasti berita palsu

SINGAPURA: "Google boleh memberikan saya jawapannya. Saya boleh merujuk Google untuk apa sahaja."

Sering kali perkara ini terdetik dalam fikiran ramai setiap kali ingin mencari tahu tentang kesahihan berita yang didengar. Hati-hati, anda sebaliknya mungkin jatuh ke dalam perangkap berita palsu - satu isu yang mana pihak berkuasa menyifatkan sebagai membimbangkan kerana mampu menjejas keharmonian kaum dan agama.

Maka itulah, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) memperkenalkan satu modul 30 minit yang memberi panduan kepada para pemimpin agama tentang cara-cara mengenal pasti berita palsu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Grace Fu, yang hadir di satu seminar antipengganasan hari ini (12 Jan) berkata, usaha tersebut akan membantu merapatkan jurang yang boleh menyebabkan seseorang menjadi mudah terpengaruh.

Cik Fu menambah, isu kaum dan agama akan selalu menjadi satu isu kontroversi. Meskipun ada kepercayaan kukuh antara kaum dan agama di Singapura, negara ini akan selalu terjejas dengan insiden-insiden yang berlaku di luar negara. Oleh itu, kata Cik Fu, penting untuk membendung pengaruh-pengaruh seperti itu.

"Kami ingin para pemimpin masyarakat dilengkapi dengan keupayaan untuk mengesan, mengenal pasti dan bertindak dalam usaha mengekang kepalsuan online. Tindakan perlu diambil segera dan secara berkesan. Ia bukan sesuatu yang anda boleh mula usahakan apabila sesuatu sudah terjadi," kata Cik Fu.

Buku-buku panduan tentang cara mempersiapkan diri dan menangani serangan pengganas juga akan diagihkan ke tempat-tempat beribadat. Garis panduan melakarkan pelan tindak bagi insiden luar jangkaan dan cara-cara mempertingkat keselamatan turut disertakan dalam buku tersebut.

Buku panduan itu hasil kerjasama polis dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Ia akan diagihkan kepada semua pertubuhan agama dan disediakan dalam empat bahasa.  

- CNA/AQ/aq

Top