Images
  • nlb

NLB mula rundingan bagi pelan lima tahun

SINGAPURA: Perundingan bagi pelan lima tahun Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mula dijalankan, dengan Pemerintah menekankan tentang peri pentingnya menjalin kerjasama dan melibatkan masyarakat.

Ini inisiatif terkini Pemerintah yang menitikberatkan maklum balas awam untuk membina masa depan negara.

Ia sebahagian daripada gerakan Singapura Bersama, yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jun tahun lalu.

Pelan Perpustakaan dan Arkib menggariskan strategi NLB untuk mempertingkat khidmatnya dalam landskap yang berubah-ubah.

Di sesi dialog bagi pelan lima tahun itu, pelibatan lebih ramai relawan disarankan.

Sebilangan peserta dialog berkata, ini akan membantu pihak perpustakaan menemui pengetahuan-pengetahuan baru.

NLB kini mempunyai 5,000 relawan yang aktif menyusun bahan-bahan perpustakaan di samping membantu para pengunjung yang mempunyai sebarang pertanyaan.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran percaya, kerjasama seperti itu akan memperkasa masyarakat dan institusi-institusi awam.

Ini penting dalam era serba canggih, di mana ada kebimbangan tentang bagaimana wadah online akan menjejas perhubungan manusia dan menyebabkan berlakunya polarisasi.

"Ia lebih genting lagi pada masa ini untuk mewujudkan dan memelihara semangat kemasyarakatan, serta membina masyarakat di mana tiada siapa berasa terpinggir," kata Encik Iswaran

"Kita harus pastikan tiada yang ketinggalan di Singapura, dan semuanya boleh memainkan peranan."

Bagi beberapa bulan mendatang, NLB akan mengumpul maklum balas masyarakat, pihak-pihak berkepentingan dan rakan-rakan kerja.

Ini akan dilakukan menerusi platform seperti perundingan awam dan platform awam.

Lebih banyak butiran tentang pelan lima tahun itu akan dikongsi lewat tahun ini.  

- CNA/AQ/tq

Top