Images
  • nhb
    Pameran Budaya Penjaja SG Kita di pusat makanan Pasar Tiong Bahru. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

NHB giatkan usaha kumpul sokongan pencalonan budaya penjaja UNESCO

SINGAPURA: Usaha untuk menyertakan budaya penjaja Singapura ke dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO semakin giat dijalankan.

Lembaga Warisan Negara (NHB) mahu lebih banyak sokongan masyarakat untuk meningkatkan lagi peluang berjaya dalam bida itu.

Bagi tujuan itu, satu pameran bergerak baru dilancarkan hari ini (25 Okt) di pusat makanan Pasar Tiong Bahru, menyusuli pelantikan sebuah jawatankuasa 14 anggota yang bertanggungjawab menyelia pencalonan Singapura kepada UNESCO.

Dipanggil Pameran Budaya Penjaja SG Kita, ia salah satu inisiatif jawatankusa tersebut untuk menjangkau lebih ramai anggota masyarakat agar boleh meningkatkan kesedaran mereka tentang pencalonan budaya penjaja Singapura ke dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

KETAHUI SEJARAH BUDAYA PENJAJA, PROSES PENCALONAN UNESCO


Gambar seorang pengunjung Pasar Tiong Bahru mengikrarkan sokongannya. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Pameran bergerak itu memberi latar belakang tentang budaya penjaja di negara ini dan sebab ia wajar dilindungi di samping menerangkan proses pencalonan UNESCO.

Harapannya, agar para pengunjung dapat mengikrarkan sokongan mereka terhadap pencalonan budaya penjaja negara yang jelas mencerminkan intipati kehidupan di Singapura.

Rancangan untuk memasukkan budaya penjaja negara ke dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.

Menurut PM Lee, pengiktirafan dari UNESCO akan membantu memelihara dan menggalakkan budaya unik Singapura itu demi generasi-generasi masa depan.

Setakat ini, lebih 34,000 orang sudahpun berbuat demikian secara online di laman www.oursgheritage.sg.


Gambar wakil-wakil daripada FMAS, The Birthday Collective mengikrarkan sokongan mereka sambil ditemani Penolong Ketua Eksekutif NHB, Encik Alvin Tan.

"Sokongan padu daripada masyarakat amat penting kerana ia merupakan salah satu kriteria yang akan dinilai oleh pihak UNESCO," ujar Cik Asmah Alias, Timbalan Pengarah, Pendidikan dan Mendampingi Masyarakat, NHB.

"Jadi cerita-cerita, gambar-gambar dan sebagainya yang meraikan budaya penjaja ini akan dilampirkan, dikumpulkan dan akan dikemukakan kepada pihak UNESCO di dalam dokumen pencalonan kami," kata beliau lagi.

PAMERAN AKAN "JELAJAH" KE 12 TEMPAT LAIN


(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Semua dokumen pencalonan perlu diserahkan kepada UNESCO menjelang Mac 2019 dan keputusannya pula akan diumumkan pada lewat 2020.

Selain mengikrarkan sokongan, anda juga boleh berkongsi pandangan tentang usaha pencalonan budaya penjaja di pameran bergerak ini yang bakal diluaskan ke 12 tempat lain merata negara - termasuk Hab Tampines Kita, Pusat Penjaja Kampung Admiralty dan Perpustakaan Jurong East - sehingga hujung bulan Januari tahun depan.

Pameran tersebut anjuran bersama NHB dengan Persatuan Persekutuan Peniaga-Peniaga (FMAS) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Jika berjaya, budaya penjaja itu akan menjadi pengiktirafan kedua oleh UNESCO selepas Kebun Bunga Singapura, diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tiga tahun lalu.

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top