Images
  • saf
    Gambar fail. (Gambar: Ng Eng Hen/Facebook)

Ng Eng Hen: MINDEF tanggung kos perubatan perlu bagi askar kerahan yang cedera

SINGAPURA: Apabila seseorang askar kerahan (NSman) mengalami kecederaan yang berkaitan dengan tugas yang dijalankan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menanggung semua kos perubatan bagi tempoh selagi ia diperlukan. Ini menurut Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam jawapan bertulis beliau pada Isnin (11 Feb).

Dr Ng berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Dennis Tan, yang menanyakan berapa lama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan terus menampung rawatan perubatan atau pembayaran balik kepada NSman yang mengalami kecederaan semasa latihan dalam kem.

Menurut Menteri tersebut, pampasan MINDEF merujuk kepada perbelanjaan di hospital-hospital awam, klinik-klinik dan hospital-hospital masyarakat dan termasuk kos bekalan perubatan dan peralatan, kaunseling dan jagaan spesialis.

Rangka kerja MINDEF bagi kecederaan sedemikian adalah "lebih menyeluruh dan murah hati" berbanding peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Pampasan Kecederaan Kerja (WICA), menurut beliau, yang akan menampung perbelanjaan perubatan sehingga setahun sejak tarikh berlaku kemalangan atau sehingga S$36,000 - bergantung kepada yang mana satu lebih dulu.

MINDEF juga akan memberi pampasan kepada NSman atas kehilangan hasil pendapatannya akibat cuti sakit atau cuti hospital, sehingga dua tahun dari hari terakhir beliau dikerahkan.

- CNA/NA/na

Top