Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nenek ini gigih kuasai kemahiran digital, Zoom dan Paynow semasa 'Circuit Breaker'

Tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 memaksa ramai orang untuk beralih ke wadah online bagi menjalankan pelbagai urusan harian.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 memaksa ramai orang untuk beralih ke wadah online bagi menjalankan pelbagai urusan harian.

Namun bagi sebahagian warga emas yang kurang arif tentang teknologi maklumat atau digital, ini suatu cabaran besar bagi mereka.

Kenali suri rumah sepenuh masa, Cik Faridah Mansoor. Pada usia 59 tahun keadaan memaksanya menguasai kemahiran digital di tengah-tengah 'circuit breaker', dan akhirnya beliau berjaya!

"Budak-budak muda sekarang, zaman sekarang, lagipun dekat mana pun tempat kerja sekarang mereka menggunakan teknologi terkini.

"Kalau kita tidak meningkatkan diri untuk belajar, nanti kita akan jadi ketinggalan. Nanti kalau orang berbual awak akan rasa macam terpinga-pinga , kita tak tahu apa orang cakap," ujar Cik Faridah, seorang nenek tujuh cucu dan ibu lima anak.

Sifat tidak mahu ketinggalan itulah yang mendorongnya untuk menimba kemahiran IT semasa terkurung di rumah ekoran 'Circuit Breaker'.

Hasilnya, beliau bukan sahaja sudah mempunyai lebih 200 pengikut di Instagram. Malah kini Cik Faridah juga sudah pandai membeli belah secara online. Beliau akur akan manfaatnya kemahiran baru ini.

"Lagipun kalau umur dah lebih daripada 60, dinasihatkan jangan keluar rumah sebab mereka kurang sistem kekebalan tubuh tak begitu kuat, kan. Senang dijangkiti," akui beliau tentang risiko COVID-19.

BERAZAM MENGUASAI ZOOM SUPAYA DAPAT TERUS BERHUBUNGAN

Namun, Cik Faridah belum berpuas hati kerana teringin untuk menguasai salah satu aplikasi yang hangat digunakan ketika ini, iaitu Zoom.

"Kita sudah tidak dapat berjumpa di luar dan tidak dapat pergi ke masjid untuk berjumpa teman-teman. Jadi saya mahu cipta satu mesyuarat Zoom di mana kita (beliau dan teman-teman) masih dapat berjumpa di dalam Zoom. Boleh berbual dan bertanya khabar.

"Alhamdulillah, kini saya sudah faham," tambah Cik Faridah, yang sudah 30 tahun tidak bekerja kerana menjadi suri rumah.

Kepandaian baru yang diperolehinya itu digunakan untuk bukan sahaja berhubungan dengan kawan-kawan, tetapi juga untuk mengikuti kelas-kelas agama.

(Gambar: IMDA)

Malah, dek keyakinannya yang semakin bertambah, Cik Faridah kini juga dapat mengajar kawan-kawannya bagaimana menggunakan Zoom.

"Macam hari itu saya tanya, kita akan adakan kuliyah dhuha kita online. Jadi saya cakap ‘nak tak join kita?’. Dia cakap ‘Oh, saya tak boleh, saya tak ada komputer riba. Anak saya pergi kerja bawa laptop’. Jadi saya cakap pada dia ‘Puan, tak payah. Zoom just guna telefon bimbit saja'. Jadi saya kasi dia petikan skrin apa untuk dimuat turun satu persatu saya tunjukkan pada mereka.

"Alhamdulillah, dalam tiga orang mereka dah get back kepada saya mereka dah download. InsyaAllah dia akan join kelas Dhuha kita," cerita Cik Faridah.

Jadi, sekarang ini beliau juga aktif menghadiri kelas-kelas agama di masjid Alkaff Kampong Melayu melalui Facebook setelah masjid-masjid ditutup dek virus korona itu, mendengar bacaan Al-Quran dan kelas-kelas Tadarus 'Live' menerusi telefon bimbit.

Bagi Cik Faridah, dengan kemahiran IT yang baru diperolehinya itu, sambutan Hari Raya 'Circuit Breaker' beliau tahun ini tidak kurang bermakna kerana dapat melakukan Zoom bersama keluarga besarnya.

(Gambar: Faridah Mansoor)

'Nenek Zoom' itu malah maju setapak lagi kerana kini juga sudah pandai memberi 'duit raya' kepada anak cucunya menerusi wadah 'Paynow'.

KLINIK DIGITAL MAYA (VDC)

Semua itu dipelajari Cik Faridah menerusi Klinik Digital Maya (VDC) anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA). Menerusi VDC, warga emas dibimbing tentang keperluan digital mereka oleh para sukarelawan bertauliah.

Antara sukarelawan yang menjadi guru kepada Cik Faridah ialah Cik Nuramima Mohamad Ram Shees, 38 tahun. Pegawai jabatan sumber manusia (HR) daripada syarikat IT Cognizant itu pernah membimbing seorang warga emas berusia 78 tahun.

Berbekalkan pengalamannya selama hampir empat tahun, Cik Nuramima menggariskan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai warga emas sekarang ini.

"Warga emas sekurang-kurangnya harus tahu cara bagaimana untuk menyambung ke internet, menggunakan WiFi dan menggunakan aplikasi e-pembayaran. Terutama sekali sewaktu penularan COVID-19 ini. Aplikasi Trace Together adalah satu aplikasi yang penting dalam waktu ini.

"Matlamat kami adalah bagi setiap warga emas diberi dan dilengkapi dengan kemahiran digital yang asas kerana dengan cara ini, semasa mereka menggunakan telefon bijak, ia akan menjadi sesuatu yang lebih berkesan," kongsi Cik Nuramima yang akur hatinya 'dekat' untuk golongan warga emas.

AGAR SEMUA TERMASUK WARGA EMAS TIDAK KETINGGALAN

Warga emas berusia 55 tahun ke atas yang berminat menerima bimbingan IT secara percuma, sebagaimana yang dinikmati Cik Faridah, boleh menghubungi VDC sehingga 18 Julai di www.imsilver.sg/vdc.

Inisiatif itu sejajar dengan gerakan 'Seniors Go Digital' yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa Belanjawan Kecekalan awal minggu ini yang mahu semua orang tidak ketinggalan secara digital termasuk warga tua.

Tempoh pengasingan sekarang ini mungkin sukar dan boleh menjejaskan kesihatan mereka kerana terpaksa 'terperap' di rumah. Namun, dengan sokongan keluarga dan masyarakat, warga emas diharap dapat meningkatkan kemahiran digital mereka untuk meneruskan kehidupan di bawah 'norma baru' COVID-19 dan selepas itu.

"Pada saya, sekarang semua sudah beralih ke online dan digital jadi bukan bermaknanya kita ini umur dah meningkat, orang kata gelaran nenek, kita tidak payah nak belajar apa itu teknologi yang terkini. Tidak payah nak segan.

"Kalau kita malu nak bertanya, nanti kita sendiri yang rugi kan?" kongsi Cik Faridah sambil ketawa.

Semangat dan azam yang membara warga emas Cik Faridah ini patut dicontohi. Bak pepatah Melayu, 'malu bertanya, sesat jalan'. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan