Images
  • Faridah Mansoor (2)
    Cik Faridah Mansoor, nenek 7 cucu dakapi pendigitalan. (Gambar-gambar: MCI)

Nenek 59 tahun rebut peluang timba kemahiran IT, erat silaturahim di tengah pandemik

SINGAPURA: Nenek berusia 59 tahun ini tidak canggung mendakapi pendigitalan.

Dalam tahun 2020 ini pula, Cik Faridah Mansoor terus lebih bersungguh-sungguh mendakapi pendigital apabila wabak COVID-19 melanda Singapura.

Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan atau ‘circuit breaker’ dikuatkuasakan hampir dua bulan lamanya, Cik Faridah sentiasa memastikan hubungan dengan sanak saudara dan rakan-rakannya terus erat menerusi pelbagai wadah termasuk Zoom dan aplikasi media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Dalam contoh lain, Cik Faridah yang juga aktif sebagai sukarelawan akar umbi memanfaatkan wadah Instagram beliau untuk berkongsi renungan dan pandangan dengan para pengikut, yang antaranya merupakan rakan-rakan relawan di kelab masyarakat dan juga jawatankuasa penduduk. Oleh kerana tidak dapat bertemu muka semasa tempoh ‘circuit breaker’, aplikasi Instagram membantu untuk terus berhubungan secara digital.

Tahun ini, sambutan Aidilfitri diraikan secara maya bersama anggota keluarga dan tujuh cucunya juga diberikan duit Raya menerusi wadah pembayaran PayNow. Cik Faridah juga sedang memulakan perniagaan online, iaitu sebuah model perniagaan yang semakin popular menyusuli penularan pandemik ini.


Nyata, kemahiran-kemahiran digital yang ditimba amat berguna bagi diri beliau. Malah, Cik Faridah turut memanfaatkan wadah online untuk menimba ilmu dan juga mengikuti pelbagai kursus. Bagi Cik Faridah, usia bukan penghalang untuk warga senja seperti beliau terus mempertingkatkan diri dalam bidang IT.

“Walaupun sudah berusia, pada saya kita masih perlu mempertingkatkan diri supaya kalau kita jumpa teman-teman dan mereka berbual, kita tak akan terpinga-pinga apa yang mereka bualkan. Jadi kalau kita berilmu sedikit, kita tahu sedikit sebanyak tentang IT kita faham tentang apa yang dibualkan,” kata Cik Faridah.

Berikut ini perkongsian Cik Faridah tentang bagaimana beliau merebut peluang untuk belajar mengenai IT dan sejauh mana pentingnya kemahiran itu, khususnya bagi warga tua.

1. Apakah rutin anda setiap hari? Maksudnya bagaimana kehidupan anda dari sehari ke sehari?

Sebagai suri rumah sepenuh masa, selain daripada melakukan kerja-kerja rumah, saya pun ada mengikuti kelas-kelas yang diadakan secara talian aplikasi FB Live ataupun dari aplikasi Zoom.

Saya juga lakukan kerja-kerja sukarela di masjid, RC dan juga CC. Saya sudah lakukan kerja-kerja sukarela selama 20 tahun.

2. Apakah antara factor-faktor yang mendorong anda untuk menimba kemahiran IT?

Dalam usia lanjut macam ini, biasanya kita tengok warga emas macam keberatan untuk meningkatkan diri lebih-lebih lagi dalam IT. Pada mereka macam susah sedikit. Pada saya, saya pun tak mahu ketinggalan.

Walaupun sudah berusia, pada saya kita masih perlu mempertingkatkan diri supaya kalau kita jumpa teman-teman dan mereka berbual kita tak akan terpinga-pinga apa yang mereka bualkan. Jadi kalau kita berilmu sedikit, kita tahu sedikit sebanyak tentang IT kita faham tentang apa yang dibualkan.

3. Dari mana anda timba kemahiran IT? Adakah daripada anggota keluarga atau menerusi kursus-kursus? Boleh anda kongsi sedikit bagaimana prosesnya? Adakah ia mudah atau sukar?

Saya pernah ikutinya dalam enam tahun dahulu, kita ada Mercu AMP, mereka adakan kursus asas komputer. Saya pernah hadiri kursus itu. Sedikit sebanyak kita tahu tentang IT. Selain daripada itu aplikasi yang di telefon bimbit ada yang saya belajar sendiri. Nak sangat tahu.

Kadang-kadang kita nampak orang gunakan aplikasi jadi saya cuba Google dan cari aplikasi itu dan saya belajar sendiri. Ada juga, kalau saya kurang faham, saya tanya pada teman-teman yang lebih muda daripada saya. Anak-anak pun ada juga. Jadi mereka kongsi sama apa yang mereka ajar kepada saya.


4. Biasanya apa yang anda lakukan online? Apakah aplikasi kegemaran anda (Zoom, Facebook, Instagram dan sebagainya) dan apakah kegunaan aplikasi itu untuk anda? Berapa jam setiap hari biasanya anda luangkan masa online? Bagaimana perasaan anda mempunyai ramai pengikut di Instagram?

Saya paling suka ambil gambar dan saya suka buat suntingan video. Sekarang saya masih ada teman dan juga anak-anak yang mengajar saya menggunakan aplikasi Canva dan saya masih belajar menggunakan KineMaster untuk buat suntingan video.

Zoom biasanya saya gunakan untuk kelas. Kita ada kelas Dhuha di Masjid Alkaff tapi tengah COVID-19 semua kelas diadakan menerusi Zoom. Jadi saya gunakan Zoom untuk hadiri kelas Dhuha Muslimah dan juga kelas Tafsir. Saya habiskan masa sekitar dua atau tiga jam sehari online.

Instagram dan Facebook pun ramai juga pengikut. Saya suka sebab kebanyakan orang yang minta nak jadi kawan. Mereka nampak akaun saya melalui akaun teman-teman. Saya tengoklah tak semua orang saya terima.

Saya pergi ke mana-mana pun saya suka muat naik gambar-gambar saya. Saya juga suka kongsi kata-kata mutiara. Kadang-kadang ada perkongsian pakar motivasi, kita dapat kesedaran perbaiki diri jadi saya kongsi di media sosial saya supaya orang lain dapat manfaatnya juga. Mungkin disebabkan itu ramai yang ikut saya di media sosial.

Kadang-kadang anak-anak bila kita nasihat secara langsung dia tak terima, jadi bila saya kongsi sesuatu nasihat di media sosial mereka baca dan mungkin akan muhasabah diri dan perbaiki diri mereka.

Oleh kerana saya sering muat naik gambar ke media sosial saya, kawan-kawan sukarelawan saya mahu saya terus menjadi sukarelawan kerana kata mereka ‘tanpa Faridah, tidak ada gambar-gambar’.

Anak-anak saya tahu saya mempunyai ramai pengikut di media sosial. Mereka gelar saya ‘Puan Presiden’ kerana saya selalu sibuk, ke sana ke mari, muat naik gambar.

5. Sambutan Hari Raya tahun ini berbeza. Bagaimana anda sekeluarga meraikannya? Apakah yang paling anda rindu tentang sambutan Hari Raya? Apa yang menarik tentang sambutan Hari Raya tahun ini?

Sambutan Hari Raya tahun ini memang kita semua kena circuit breaker. Kita ‘jumpa’ ibu saya dan ahli keluarga yang lain melalui Zoom. Jadi, meriahlah. Tak pernah kita tengok menerusi Zoom kan. Selalu Hari Raya pertama kita jumpa di rumah abang saya di mana ibu saya duduk bersama mereka. Cuma kali ini melalui Zoom ada sedikit lain. Semua orang macam terlalu ghairah, semua nak bercakap.

Kita rindu masa bersama. Secara maya memang lain tak akan sama. Bila jumpa depan mata dapat bersalaman, cium tangan ibu. Tahun ini kita tak dapat buat macam itu. Kemesraan itu ada. Secara maya tidak ada sentuhan mesra.

Biasanya memang saya hubungi keluarga dan rakan-rakan menerusi Zoom dan WhatsApp. Selalunya untuk saya hubungi ibu saya yang berusia 84 tahun. Dia dibantu kakak ipar saya untuk gunakan aplikasi tersebut.

6. Kongsikan sejauh mana kemahiran IT yang sudah anda perolehi ini membantu menghubungkan anda dengan sanak saudara semasa Hari Raya.

Tak semua yang tahu Zoom. Kadang-kadang orang muda pun tertanya bagaimana nak buat Zoom. Saya ingatkan kita sebagai warga emas ketinggalan, rupanya ada juga warga muda kurang faham. Jadi kita berkongsi ilmu. Jadi saya petik gambar cara-cara nak gunakan Zoom dan hantarkannya. Itu yang membuat saya gembira kerana kita ajar, bermanfaat juga kepada yang lain. Jadi semasa Hari Raya itu dapat juga ‘berjumpa’ di Zoom.


7. Secara peribadi apa yang telah anda pelajari pada tahun 2020 - apa yang telah anda pelajari tentang diri anda sendiri? Dapatkah anda mengejutkan diri anda sendiri atau orang lain di keliling anda dengan cara anda menyahut cabaran tahun ini?

Saya cuba beranikan diri saya untuk ceburi bidang yang saya minati. Sekarang pun saya baru menjinakkan diri dalam bidang perniagaan (online). Saya mula secara kecil-kecilan. Kita ada SkillsFuture kan, saya akan gunakan SkillsFuture untuk meningkatkan kemahiran saya dalam bidang IT kerana bidang ini luas. Banyak yang harus saya pelajari.

Tapi ini dalam perancangan saya. Buat masa ini saya belum mulakan apa-apa kursus SkillsFuture kerana saya masih dalam idah selepas suami meninggal dunia bulan Oktober lalu.

Tapi minggu depan di bawah M3 ada kursus online ‘Senior Goes Digital’ saya akan ikuti.

8. Adakah perkara-perkara yang berlaku dalam tahun 2020 ini mengubah pandangan anda terhadap Singapura dan rakyat Singapura? Jika ya, bagaimana? Jika tidak, mengapa?

Pemerintah kita banyak berusaha. Bersungguh-sungguh mereka usaha untuk membaikkan ekonomi kita, mencarikan pekerjaan untuk orang-orang kita, menolong dengan kewangan. Singapura bertambah cekap menangani krisis kalau nak dibandingkan dengan luar negara. Di Singapura mereka tangani dengan baik.

Semasa saya lakukan kerja-kerja sukarela tahun ini, ada yang rasa murung. Ada yang diberhentikan kerja berkongsi dengan saya bahawa ia satu tamparan hebat bagi mereka. Saya nasihatkan mereka bahawa ini satu ujian dari Tuhan. Selama ini di Singapura kita hidup tenang dan mungkin kita kurang faham macam mana orang lain susah.


9. Apakah harapan dan aspirasi anda bagi tahun 2021, baik secara peribadi mahupun secara profesional? Apa yang ingin anda kecapi?

Semoga saya dapat berusaha lebih gigih untuk meningkatkan diri saya ke arah yang positif, yang lebih baik. Semoga saya tidak berhenti menghadiri kursus-kursus kemahiran IT.

10. Apakah harapan anda untuk Singapura dalam tahun 2021?

Saya berharap Singapura akan semakin maju dengan adanya teknologi yang canggih. Harapan saya untuk Singapura semoga ekonomi akan lebih mantap dan COVID-19 dapat pulih seperti sedia kala.

11. Apakah mesej yang ingin anda sampaikan kepada rakyat Singapura yang lain sedang kita melangkah ke tahun baru?

Jangan putus asa. Zaman makin canggih masing-masing perlu mempertingkat diri. Mungkin dengan ada kursus dan sijil akan dapat pekerjaan lebih baik. Selagi boleh, manfaatkan SkillsFuture. Kalau kita usaha pertingkat diri kita semoga kita tidak tersepit dalam situasi sekarang ini. Melangkah ke tahun baru dengan positif.

(Rencana ini dibawakan oleh Gov.sg).

Kongsikan renungan, harapan dan aspirasi anda bagi tahun 2021, mulai hari ini hingga pukul 11.59 malam pada 30 Disember nanti. Muat naik rakaman video anda ke Facebook, Instagram atau TikTok dengan hashtag #SGTogetherBetterTomorrow dan #LetsCelebrate2021. Sebanyak 21 video terbaik berpeluang memenangi baucar bernilai S$210 setiap satu. Lungsuri laman mediacorp.sg/letscelebrate2021/sgtogether untuk mendapatkan perinciannya. Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan. 

- BERITAmediacorp/nk

Top