Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nenek 47 tahun antara 94 diberkas atas kesalahan dadah

Seorang nenek berusia 47 tahun merupakan antara 94 orang yang diberkas minggu ini kerana disyaki terlibat dalam kesalahan-kesalahan berkaitan dadah, dalam satu operasi yang dijalankan di seluruh negara oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).

Anggaran Waktu Membaca:
Nenek 47 tahun antara 94 diberkas atas kesalahan dadah

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 08 Nov 2019 09:12PM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 09:17PM

SINGAPURA: Seorang nenek berusia 47 tahun merupakan antara 94 orang yang diberkas minggu ini kerana disyaki terlibat dalam kesalahan-kesalahan berkaitan dadah, dalam satu operasi yang dijalankan di seluruh negara oleh Biro Narkotik Pusat (CNB).

Wanita tersebut, yang disyaki seorang pengedar dadah, mempunyai seorang bayi dan dua lagi anak kecil bersamanya apabila dia diberkas pada Isnin (4 Nov), menurut polis.

Dia sedang menjaga bayi perempuan berusia setahun itu, yang kemudian diserahkan kepada ibunya, menurut CNB.

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun pula adalah cucu suspek.

Mereka sudah pun dirujuk kepada Khidmat Perlindungan Kanak-kanak Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga setelah pihak berkuasa gagal menghubungi ibu mereka.

Dua paket Ice ditemui semasa dia diberkas dekat Jurong West Street 91.

OPERASI CNB DI MERATA LOKASI

93 lagi orang diberkas dalam serbuan berasingan di kawasan-kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Batok, Bukit Panjang dan Pasir Ris pada minggu ini. 

Secara keseluruhan, para pegawai merampas 314 gram Ice, 81 gram ganja, 18 gram heroin, 384 gram ketamine, 498 pil Ecstasy, 652 pil Emirin-5 dan 40 gram bahan psikoaktif baru semasa operasi tersebut. 

Dalam satu kes, dua orang yang disyaki pengedar dadah ditahan sekitar Jalan Rengkam di Hougang pada malam 6 Nov.

CNB menyatakan para pegawainya mengesan seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditemani seorang lelaki 39 tahun masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam dan keluar dari kenderaan itu dengan membawa beg plastik berwarna biru. 

Sejurus kemudian, sekumpulan pegawai mengekori kereta tersebut.

Dua lelaki berkenaan menuju ke sebuah lagi kereta di Hougang Street 31. Mereka diberkas sebaik sahaja memasuki kereta itu. Beg plastik biru yang dibawa mereka didapati mengandungi sekitar 119 gram Ice.

Kereta berwarna hitam itu kemudian dipintas di simpang Pasir Ris Drive 1 dengan Loyang Avenue. Dua lelaki berusia 27 tahun dan 29 tahun diberkas. Sekitar 5 gram Ice, 10 pil Ecstasy dan wang tunai S$7,585 dijumpai di dalam kereta. 

Lebih banyak dadah dijumpai apabila para pegawai menyerbu flat suspek, menurut CNB.

Siasatan masih lagi dijalankan. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan