Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NEA gesa elak spekulasi, sebar khabar angin tidak berasas tentang virus Wuhan

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (1 Feb) menasihati orang ramai supaya jangan membuat andaian atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas mengenai virus korona Wuhan.

Anggaran Waktu Membaca:
NEA gesa elak spekulasi, sebar khabar angin tidak berasas tentang virus Wuhan

Kaunter pengesahan di luar sebuah bangunan pejabat di Singapura pada 28 Jan. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 02 Feb 2020 09:13AM Dikemas Kini : 02 Feb 2020 12:02PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Sabtu (1 Feb) menasihati orang ramai supaya jangan membuat andaian atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas mengenai virus korona Wuhan.

Merujuk kepada kiriman teks yang mengandungi senarai mengenai "tempat-tempat untuk dielakkan" di Singapura, NEA menyatakan orang ramai tidak perlu menjauhi tempat-tempat tersebut.

Kiriman teks yang dikongsi di wadah-wadah seperti WhatsApp dan Telegram itu turut menyenaraikan nama hotel, hospital dan pusat beli-belah yang didakwa terdedah kepada pesakit-pesakit di Singapura yang disahkan dijangkiti virus Wuhan.

"Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa para pegawai NEA sedang bekerja rapat dengan para penduduk dan pemilik premis untuk menghulurkan sokongan dan memastikan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan-kawasan yang terjejas, dilaksanakan mengikut garis panduan kami."

"Kami juga telah mengeluarkan nasihat kesihatan dan kebersihan kepada premis-premis dan kemudahan yang menerima banyak kunjungan seperti hotel dan cawangan-cawangan makanan dan minuman (F&B), termasuk pusat-pusat penjaja," menurut NEA.

Ramai pesakit yang disahkan dijangkiti virus Wuhan di Singapura adalah pelancong asing yang mengunjungi tempat-tempat seperti Orchard Road, Taman di Pesisiran dan Sentosa.

Pemangku Pengarah Klinikal Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) Dr Shawn Vasoo memberitahu Mediacorp bahawa khabar angin yang mendakwa orang ramai boleh dijangkiti virus korona daripada berjalan du tempat-tempat tertentu adalah ’tidak benar sama sekali’.

"Anda biasanya tidak akan dijangkiti daripada sesuatu tempat, tetapi sebaliknya daripada seseorang yang sudah dijangkiti. Jadi pada pendapat saya, mesej yang tersebar di WhatsApp dan media social... kita tidak sepatutnya menyebarkannya kerana ia boleh mencetuskan paranoia dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, yang memang tidak wajar sama sekali."

"Lazimnya, anda hanya akan dijangkiti oleh seseorang yang sudah dijangkiti dan anda juga harus berada agak dekat dengan orang itu (untuk dijangkiti)," menurutnya lagi.

Dr Vasoo turut menjelaskan bahawa "berhubung rapat" lazimnya merujuk kepada orang yang tinggal serumah, individu yang menjaga seseorang yang mungkin sudah dijangkiti atau sesiapa yang berada di ruang yang sama untuk jangka masa yang agak panjang.

Sentuhan buat seketika saja - seperti berjalan di sebelah seseorang di ruang awam - tidak dianggap sebagai berhubung rapat dan kemungkinan dijangkiti virus dalam situasi seperti itu amat kecil sekali, tambah beliau.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan