Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2019: Yuran universiti, politeknik lebih rendah bagi pelajar kurang mampu mulai tahun akademik akan datang

Para pelajar baru dan sedia ada dari latar belakang berpendapatan rendah akan membayar yuran universiti dan politeknik yang lebih rendah mulai tahun akademik akan datang. Ini sedang Kementerian Pendidikan (MOE) bakal menaikkan dermasiswa pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2019: Yuran universiti, politeknik lebih rendah bagi pelajar kurang mampu mulai tahun akademik akan datang

Gambar fail NTU. (Gambar: Alif Amsyar)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 01:10AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 01:26AM

SINGAPURA: Para pelajar baru dan sedia ada dari latar belakang berpendapatan rendah akan membayar yuran universiti dan politeknik yang lebih rendah mulai tahun akademik akan datang. Ini sedang Kementerian Pendidikan (MOE) bakal menaikkan dermasiswa pemerintah.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (18 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa bagi para mahasiswa, MOE akan menaikkan jumlah dermasiswa dari 50 peratus yuran ijazah am, kepada sehingga 75 peratus.

Ini bermakna, seorang mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah akan membayar S$2,000 setiap tahun, berbanding S$4,000 setiap tahun, sekiranya beliau menggunakan sepenuhnya dermasiswa itu untuk yuran universitinya. Yuran keseluruhan bagi program ijazah am di Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah sekitar S$8,000 setiap tahun.

Bagi para pelajar politeknik, MOE akan menaikkan jumlah dermasiswa dari sehingga 80 peratus kepada sehingga 95 peratus.

Ini bermakna seorang pelajar politeknik dari latar belakang berpendapatan rendah akan membayar sebanyak S$150 setiap tahun, berbanding sebelumnya iaitu S$600 setiap tahun, dengan dermasiswa. Yuran keseluruhan bagi diploma politeknik adalah sekitar S$3,000 setiap tahun.

Menurut PM Lee, langkah itu bagi memastikan sistem pendidikan Singapura "amat mudah diakses".

"Kami ingin setiap anak muda Singapura baik lelaki mahupun perempuan berpeluang untuk mendapatkan pendidikan yang baik dan memulakan kehidupan dengan baik, tanpa mengira keadaan keluarga,” kata PM Lee.

“Para pelajar dari latar belakang kurang bernasib baik) tidak seharusnya berasa tidak beruntung atau serba kekurangan apabila membandingkan diri mereka dengan rakan-rakan lain, mereka juga tidak sepatutnya dihalang daripada memburu kursus impian mereka semata-mata kerana masalah kewangan,” tegas PM Lee.

“Ini penting bagi memelihara Singapura sebagai sebuah negara dengan sistem demokrasi yang terbuka."

PM Lee berkata bahawa langkah itu juga akan memanfaatkan para pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana, dengan enam daripada 10 universiti dan para pelajar politeknik layak untuk mendapatkan dermasiswa pemerintah.

Untuk melayakkan diri bagi dermasiswa MOE di peringkat pos-menengah, rakyat Singapura mesti memiliki pendapatan kasar keluarga (GHI) sekitar S$9,000 sebulan dan ke bawah, atau pendapatan per kapita keluarga (PCI) sebanyak S$2,250 dan ke bawah.

Untuk layak bagi dermasiswa Jawatankuasa Perundingan Rakyat/Majlis Pembangunan Masyarakat, rakyat Singapura mestii memiliki GHI sekitar S$4,000 dan ke bawah setiap bulan, atau PCI sebanyak S$1,000 dan ke bawah.

PM Lee menambah bahawa dermasiswa yang dinaikkan itu meliputi para pelajar diploma dan ijazah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan Maktab Seni LASALLE.

DERMASISWA DITAMBAH BAGI PELAJAR PERUBATAN

Mahasiswa bidang perubatan dari keluarga berpendapatan rendah juga akan menikmati yuran yang lebih rendah dengan peningkatan dermasiswa yang "jauh lebih lumayan" berbanding kursus lain di universiti, kata PM Lee.

Digandingkan dengan dermasiswa lain universiti, beliau berkata para mahasiswa perubatan kini akan membayar tidak lebih daripada S$5,000 setahun.

Buat masa ini, yuran sekolah perubatan di NUS dan NTU masing-masing sekitar S$29,000 dan S$35,000 setahun, selepas mendapat subsidi pemerintah.

"Kita tidak seharusnya membiarkan kos sekolah perubatan menjadi penghambat pelajar berkelayakan daripada menceburi bidang perubatan," tambah Encik Lee. "Malah, kita sebenarnya inginkan para doktor dari pelbagai latar belakang keluarga dan pendidikan."

Encik Lee juga melahirkan harapan agar pihak universiti, politeknik dan ITE akan menubuhkan dermasiswa sendiri untuk menyokong dermasiswa yang ditawarkan Pemerintah, dengan sumbangan "murah hati" daripada anggota alumni dan masyarakat.

Beliau menarik perhatian bahawa Pemerintah akan memadankan dua kali ganda derma kepada universiti baru dan sehingga 1.5 ganda bagi universiti lain.

YURAN LEBIH RENDAH DI SIT, SUSS

Selain dermasiswa, Encik Lee mengumumkan MOE akan menurunkan yuran tahunan bagi program ijazah am sepenuh masa di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dari sekitar S$8,000 kepada S$7,500.

Ini menyusuli semakan MOE baru-baru ini ke atas yuran pengajian tinggi dan bagaimana universiti-universiti boleh "beroperasi secara lebih berhemat", tambah Encik Lee.

"Dua daripadanya, SIT dan SUSS, lebih bersifat amali dan menganjurkan lebih banyak program bekerja sambil belajar atau latihan amali (internship)," jelas beliau. "Kos operasi bagi setiap mahasiswa boleh dikurangkan lagi, terutama sekali apabila pengambilan mahasiswa bertambah."

Sumber : CNA/NA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan