Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2019: Kos lindungi S'pura daripada kenaikan paras air laut boleh cecah $100 bilion atau lebih

Untuk menangani isu kenaikan paras air laut dalam tempoh "antara 50 dengan 100 tahun" mendatang, Singapura akan menanggung kos sekitar S$100 bilion atau lebih.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2019: Kos lindungi S'pura daripada kenaikan paras air laut boleh cecah $100 bilion atau lebih

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 12:10AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 12:18AM

SINGAPURA: Untuk menangani isu kenaikan paras air laut dalam tempoh "antara 50 dengan 100 tahun" mendatang, Singapura akan menanggung kos sekitar S$100 bilion atau lebih.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (18 Ogos).

Dalam ucapan bahasa Inggerisnya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee menekankan bahawa Singapura mudah terdedah kepada kesan-kesan perubahan iklim, khususnya kenaikan paras air laut.

"Berapakah kos untuk melindungi negara kita daripada kenaikan paras air laut? Saya rasa mungkin $100 bilion dalam tempoh lebih 100 tahun, atau mungkin lebih dari itu," kata PM Lee.

"Jika kita hanya ada 10 tahun untuk mencari huraiannya, kita tidak mempunyai masa yang mencukupi atau sumber-sumber untuk melakukannya. Namun kerana ini adalah masalah antara 50 dengan 100 tahun mendatang, kita boleh melaksanakan huraian 50 hingga 100 tahun."

Perlindungan daripada perubahan iklim perlu ditangani dengan serius, seperti Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kata PM Lee.

Beliau berkata perlu ada "usaha-usaha berterusan, mengekalkan belanjawan yang stabil tahun demi tahun, terus pantau dan lakukannya tahun demi tahun dan generasi demi generasi".

INSPIRASI DARI LUAR NEGARA

Meskipun Singapura sudah mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk melindungi bangunan-bangunan dan pembangunan - bangunan-bangunan baru perlu dibina sekurang-kurangnya 4 meter dari permukaan air laut dan ia perlu lebih tinggi bagi prasarana-prasarana penting - huraian-huraian ini tidak mencukupi, kata PM Lee.

"Kita mempunyai banyak bangunan lama. Semua itu tidak boleh diangkat atau dialihkan ke tapak yang lebih tinggi," jelas PM Lee.

"Malah, sebahagian besar Singapura berada di tanah rendah dan kita perlu melindunginya secara keseluruhan."

Oleh itu, daik atau benteng-benteng perlu dibina, kata PM Lee.

"Kita sudah mengkaji perairan kita dengan terperinci dan kita bahagikannya kepada segmen-segmen berasingan," kata beliau.

Kerja-kerja yang akan dijalankan akan mengutamakan kawasan-kawasan "genting" seperti Bandar-Pantai Timur dan Pulau Jurong.

Di bandar misalnya, terdapat perancangan untuk membangunkan stesen pam kedua di Bendungan Marina. Stesen pam sedia ada menempatkan tujuh pam besar, kata PM Lee.

"Kita bangunkan Kolam Air Marina dan Bendungan Marina Barrage melindungi kawasan bandar daripada banjir," tambah PM Lee.

"Apabila hujan lebat semasa air pasang, air dipam dari Kolam Air Marina ke laut. Ini supaya hujan yang turun di kawasan bandar boleh mengalir ke dalam kolam tersebut. Apabila paras air laut naik, sebuah stesen pam tidak akan mencukupi."

Huraian-huraian lain diperlukan bagi kawasan pantai di bahagian timur Singapura, kata PM Lee.

Salah satu pilihan adalah dengan mengikut jejak Belanda, mewujudkan apa yang dipanggil 'polder' - iaitu tanah yang ditambak dari laut.

Untuk membina 'polder', benteng-benteng perlu dibina di dalam laut, sebelum mengepam air laut ke bahagian belakang benteng-benteng tersebut bagi mewujudkan tanah kering.

Tanah-tanah 'polder' itu boleh berada di bawah paras air laut tetapi airnya perlu sentiasa dipam keluar.

Ini adalah "pilihan serius" bagi Singapura, tekan PM Lee.

Sebuah kawasan 'polder' sedang dibangunkan di Pulau Tekong, tambah PM Lee, sebagai usaha menimba "pengalaman" mengendalikannya.

Tapak baru itu akan digunakan bagi latihan-latihan Angkatan Bersenjata Singapura.

Satu lagi alternatif adalah dengan menambak beberapa pulau di kawasan perairan Singapura, dari Marina East ke Changi, kata PM Lee.

Ia boleh dihubungkan melalui bendungan-bendungan dan sebuah kolam air tawar seperti Kolam Air Marina boleh diwujudkan, jelas beliau.

"Kita akan meneliti semua pilihan dengan teliti, dan bila tiba masanya, kita akan memutuskan cara terbaik untuk melakukannya," kata PM Lee.

"Masalah ini mempunyai huraian kejuruteraan yang baik meskipun ia akan menelan belanja yang besar."

Apa yang penting adalah perancangan perubahan iklim Singapura mesti dilaksanakan secara "bertahap-tahap" dan "fleksibel", tekan PM Lee.

"Tetapi, kita mesti bermula dari sekarang dan teruskan usaha, seperti yang dilakukan oleh Belanda berabad-abad lamanya dan seperti yang kita lakukan dengan SAF," kata beliau.

"Kita mesti menjalankan usaha ini. Jika tidak, cucu-cicit kita akan berasa malu dengan apa yang tidak dilakukan oleh generasi kita."  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan