Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2019: Dari usia persaraan hingga ke perubahan iklim, ini 9 perkara anda perlu tahu...

PM Lee mendedahkan rancangan untuk menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja serta menaikkan jumlah sumbangan CPF bagi pekerja lanjut usia menjelang 2030.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2019: Dari usia persaraan hingga ke perubahan iklim, ini 9 perkara anda perlu tahu...

PM Lee di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 12:39AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 12:43AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendedahkan rancangan untuk menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja serta menaikkan jumlah sumbangan CPF bagi pekerja lanjut usia menjelang 2030.

Demikian menurut PM Lee semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (18 Ogos).

PM Lee turut mengumumkan langkah-langkah untuk menjadikan pendidikan lebih dimampui - dari peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.

PM Lee juga menyentuh tentang isu-isu global seperti perubahan iklim dan ketegangan perdagangan AS-China dan sejauh mana ia menjejas Singapura.

Berikut adalah topik-topik utama daripada ucapannya:

1. USIA PERSARAAN NAIK KEPADA 65 TAHUN JELANG 2030

Menjelang 2030, usia persaraan dinaikkan kepada 65 tahun manakala usia pengambilan semula pekerja dinaikan kepada 70 tahun.

Usia persaraan, yang sekarang ini adalah 62 tahun akan dinaikkan kepada 63 tahun pada 2022. Ia akan dinaikkan lagi kepada 65 tahun menjelang 2030.

Sementara itu, usia pengamblan semula pekerja, yang sekarang adalah 67 tahun, akan naik kepada 68 tahun pada 2022, sebelum dinaikkan lagi kepada 70 tahun menjelang 2030.

2. SUMBANGAN CPF LEBIH TINGGI

PM Lee turut mengumumkan bahawa kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dinaikkan bagi para pekerja berusia 55 tahun dan ke atas.

Perubahan akan mula dikuatkuasakan pada 2021, dengan keseluruhan prosesnya mengambil masa sekitar 10 tahun bergantung kepada keadaan ekonomi.

Apabila perubahan-perubahan itu selesai dilaksanakan, para pekerja berusia 60 tahun dan ke bawah boleh "menikmati kadar penuh CPF", kata PM Lee.

Beliau juga menekankan bahawa tiada perubahan dilakukan pada dasar-dasar bagi mengeluarkan simpanan CPF atau usianya seperti khabar-khabar angin yang timbul awal tahun ini.

3. YURAN POLITEKNIK, UNIVERSITI LEBIH RENDAH

Dari segi pendidikan, PM Lee mengumumkan beberapa langkah yang disasarkan untuk membantu para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di institusi-institusi pengajian tinggi.

Dermasiswa-dermasiswa bagi yuran kursus-kursus universiti dinaikkan dari 50 peratus sehingga 75 peratus.

Dermasiswa-dermasiswa bagi yuran program diploma politeknik pula dinaikkan dari 80 peratus sehingga 95 peratus.

Dermasiswa-dermasiswa bagi para pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Akademi Seni Halus Nanyang dan Kolej Seni LASALLE, mahasiswa di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan juga Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan membayar yuran lebih rendah dari sekitar $8,000 sekarang kepada $7,500.

4. LEBIH BANYAK SUBSIDI PRASEKOLAH

Perbelanjaan tahunan Singapura dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak akan dinaikkan lebih seganda dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pemerintah juga akan menaikkan had pendapatan bagi keluarga-keluarga yang layak menerima subsidi prasekolah kepada $12,000 sebulan berbanding $7,500 sekarang.

Ini bermakna lagi 30,000 keluarga di Singapura layak menerima subsidi tersebut.

Terdapat juga rancangan-rancangan untuk menambah jumlah prasekolah yang disokong pemerintah kepada 80 peratus secara bertahap-tahap.

5. PERUBAHAN IKLIM CABARAN "GENTING"

Singapura sedang berdepan dengan kesan perubahan iklim, dengan cuaca yang lebih panas serta hujan ribut lebih lebat, kata PM Lee.

"Ini kemungkinan besar akan bertambah buruk dalam beberapa dekad akan datang sepanjang hayat kebanyakan daripada kita," tambah beliau.

Menurut satu tinjauan Switzerland, menjelang 2050, beberapa bandar di dunia akan berdepan perubahan iklim yang "belum pernah berlaku" sebelum ini - dengan Singapura salah satu daripadanya.

Singapura perlu membelanjakan sekitar S$100 bilion atau lebih untuk melindungi negara daripada kenaikan air laut, kata PM Lee.

6. JADI APA YANG PERLU DILAKUKAN?

Menurut PM Lee, benteng-benteng diperlukan untuk melindungi Singapura daripada kenaikan paras air laut, khususnya merujuk kepada kawasan-kawasan genting seperti East Coast dan Pulau Jurong.

Satu rancangan untuk membangunkan stesen pam kedua di kawasan bertentangan Bendungan Marina juga sedang dipertimbangkan, sementara sebidang tanah yang dipanggil 'polder' sedang dibangunkan di Pulau Tekong.

PM Lee menekankan bahawa rakyat Singapura boleh memainkan peranan dengan mengurangkan sisa dan lebih berdaya mampan dalam tabiat harian mereka.

"Meskipun Singapura mungkin tidak dapat menghentikan perubahan iklim secara sendirian, kita boleh menyumbang huraian-huraian dan kita mesti memainkan peranan."

7. SEBUAH LAGI UNIVERSAL STUDIOS DI S'PURA?

Dalam ucapannya, PM Lee mendedahkan visinya bagi Greater Southern Waterfront (GSW). Kawasan itu akan dibangunkan semula sebagai lokasi baru untuk menetap, bekerja dan beriadah.

Seganda lebih besar saiz Punggol, GSW juga akan menyediakan daya tarikan baru seperti Universal Studios Singapore serta resort "Downtown South" yang akan dibangunkan oleh NTUC, kemungkinan besar di Pulau Brani.

Selain Pulau Brani, Pemerintah juga mempunyai rancangan-rancangan untuk menyuntik kesegaran di Sentosa dan membangunkan semula dua stesen jana kuasa yang sudah dibubar di Pasir Panjang.

8. PENDEKATAN S'PURA "TEGAS" BERHUBUNG KETEGANGAN AS-CHINA

Berucap mengenai pertikaian-pertikaian berlarutan antara Amerika Syarikat dengan China, PM Lee berkata meskipun ia mempunyai kesan-kesan ekonomi ke atas Singapura, ia tidak memerlukan langkah-langkah segera.

Dalam ucapan bahasa Mandarinnya pula, PM Lee menekankan bahawa sekiranya keadaan bertambah buruk, Pemerintah akan "memberi respons segera dengan campur tangan yang sewajarnya demi melindungi mata pencarian para pekerja kita".

Dengan Singapura sebagai satu-satunya negara berdaulat selain China, yang mempunyai majoriti penduduk berbangsa Cina, ini menjadikan hubungan dua hala kita "unik", kata PM Lee.

Inilah sebabnya, Singapura mesti sentiasa tegas dalam pendekatannya dan tidak mudah dipengaruhi oleh emosi, tambah beliau.

9. ORANG MELAYU S'PURA ADA 'IDENTITI UNIK'

Masyarakat Melayu Singapura sudah membangunkan satu "identiti unik" berbanding orang-orang Melayu lain di rantau ini, kata PM Lee dalam ucapan bahasa Melayu.

Beliau berkata, masyarakat Melayu mengamalkan agama "dengan bersikap saling menghormati, bertolak ansur dan inklusif" dalam kehidupan majmuk di Singapura.

Beliau juga menyentuh tentang bagaimana masyarakat Melayu semakin maju hasil penekanan kepada pendidikan.

PM Lee memberikan contoh jumlah para penerima Anugerah Mendaki yang lulus ijazah kepujian kelas pertama di universiti.

Selain itu beliau turut memuji Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, yang merupakan anak Melayu ketiga dalam sejarah yang dianugerahi Biasiswa Presiden baru-baru ini.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan