Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2018: PM Lee jelaskan sebab tempoh pajakan HDB 99 tahun

Soal tempoh pajakan perumahan awam, disentuh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa ucapannya dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2018: PM Lee jelaskan sebab tempoh pajakan HDB 99 tahun

Gambar flat HDB. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 11:51PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 11:53PM

SINGAPURA: Soal tempoh pajakan perumahan awam, disentuh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa ucapannya dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos).

Lebih 80 peratus penduduk tinggal di flat-flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan Awam (HDB).

Selain itu, semakin banyak flat menghampiri separuh tempoh pajakan 99 tahun. Ini mencetuskan perbincangan awam dan di parlimen termasuk isu berhubung nilai rumah yang menurun dan takrifan pemilikan rumah.

"Ada satu sebab asas mengapa flat-flat HDB mesti dipulangkan kepada negara selepas 99 tahun.

Kita perlu bersikap adil kepada generasi akan datang. Selepas tempoh 99 tahun, flat dikembalikan kepada negara dan Pemerintah membangun semula tanah tersebut dan membina flat-flat baru bagi generasi masa depan.

Ini satu-satunya cara untuk mengitar semula tanah, bagi memastikan generasi akan datang boleh membeli flat-flat BTO (Bina-Ikut-Tempahan) yang baru," jelas PM Lee.

"Sebaliknya jika Pemerintah menjual flat pada pajakan pegangan bebas, lambat laun kita akan ketandusan tanah untuk membina flat-flat baru."

Oleh kerana itulah tempoh pajakan 99 tahun diluaskan juga kepada perumahan privet, kata PM Lee.

“TIDAK RAMAI YANG HIDUP LEBIH LAMA DARI TEMPOH PAJAKAN."

PM Lee menambah tempoh "99 tahun adalah masa yang amat panjang."

“Katakanlah anda beli flat baru dari HDB pada usia awal 30-an. Selepas 99 tahun, anda berusia lebih 130 tahun - dan saya agak anda mungkin tidak perlukan flat itu lagi.

"Jika anda mempunyai anak, mereka juga akan bertambah tua, hampir seusia flat itu sendiri, pada usia 80-an atau 90-an,” kata PM Lee.

Beliau berkata jika seorang itu bersara selepas tinggal di flat selama 30 atau 40 tahun, flat itu masih mempunyai baki tempoh pajakan melebihi 60 tahun.
Ini katanya cukup panjang bagi flat itu mengekalkan nilai yang besar dan satu jaminan kewangan yang baik untuk pesaraan.

PM Lee menambah Kementerian Pembangunan Negara sedang juga berusaha untuk membantu penduduk mendapatkan wang daripada flat mereka dengan meluaskan 'Skim Beli Balik Pajakan' atau memperbaiki keadaan pasaran jualan semula. 

Sumber : CNA/MM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan