Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NCMP Daniel Goh umum tidak bersaing bagi jawatan setiausaha agung WP

Dr Daniel Goh dari Parti Pekerja (WP) berkata beliau tidak akan bertanding bagi jawatan setiausaha agung partinya.

Anggaran Waktu Membaca:
NCMP Daniel Goh umum tidak bersaing bagi jawatan setiausaha agung WP

Dr Daniel Goh dari Parti Pekerja (WP) berkata beliau tidak akan bertanding bagi jawatan setiausaha agung partinya. (Gambar: Sarah Yang)

Diterbitkan : 12 Feb 2018 08:21PM Dikemas Kini : 12 Feb 2018 08:23PM

SINGAPURA: Dr Daniel Goh dari Parti Pekerja (WP) berkata beliau tidak akan bertanding bagi jawatan setiausaha agung partinya.

Dalam satu catatan Facebook hari ini (12 Feb), Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) itu sebaliknya menyatakan sokongan beliau kepada penolong setiausaha agung parti, Encik Pritam Singh sebagai calon ketua parti itu.

Semalam (11 Feb), seorang pemerhati politik, Encik Lam Peng Er berkata dalam satu laporan Straits Times bahawa Dr Goh mungkin salah seorang calon yang akan bertanding bersama NCMP Dennis Tan dan Encik Pritam pada pengundian 8 April ini.

Namun Dr Goh berkata "Tidak" dalam satu catatan Facebook yang dilampirkan bersama pautan laporan berkenaan pada hari yang sama diikuti dengan sebuah catatan yang lebih panjang hari ini.

Dr Goh selanjutnya berkata beliau percaya bagi parti itu untuk "terus berkembang sebagai parti pembangkang yang berdaya maju", ia memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai "pengalaman berucap dan berdebat dengan baik di Parlimen", mendapat keyakinan dan sokongan pengundinya serta mempunyai "pengalaman baik dalam memimpin pihak pengurusan majlis bandaran".

Anggota Parlimen itu juga seharusnya "seorang pemimpin berjiwa rakyat yang mengetahui kelemahannya sendiri, bekerja rapat dengan anggota akar umbi partinya serta menggesa mereka untuk bersatu demi kebaikan bersama Singapura dan rakyat Singapura", kata Dr Goh.

"Saya hanya seorang Anggota Parlimen (AP) Tanpa Kawasan Undi yang mempunyai dua tahun pengalaman dalam bidang politik. Ada banyak lagi yang perlu saya pelajari.

"Sebaliknya, Pritam seorang AP yang terbukti berpengalaman dalam hal-hal tersebut," katanya. "Saya bekerja rapat dengan Pritam dalam jawatankuasa penganjur WP60 ... dan saya yakin beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat."

Encik Low Thia Khiang, setiausaha agung WP buat masa ini, mengumumkan November tahun lalu dalam jamuan malam sepena ulang tahun ke-60 parti bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pengundian seterusnya bagi "memberi laluan kepada muka-muka baru".

Beliau sudah memimpin parti tersebut sejak Encik JB Jeyaretnam meletak jawatan pada 2001. Hingga kini, Encik Low terus membisu tentang siapakah pengganti beliau dengan menekankan ia sesuatu yang akan diputuskan oleh parti itu sendiri.

Di bawah kepimpinanan Encik Low, WP menjadi parti pembangkang pertama untuk memenangi sebuah GRC dalam pilihan raya umum 2011. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan