Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nama siswazah yang palsukan dokumen akademik digugurkan daripada daftar peguam

Nama siswazah undang-undang yang mengaku memalsukan ijazah sarjana muda dan transkrip akademiknya supaya kelihatan menyerlah, digugurkan daripada daftar peguam hari ini (22 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Nama siswazah yang palsukan dokumen akademik digugurkan daripada daftar peguam

Gambar fail NUS.

Diterbitkan : 22 Jan 2019 05:30PM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 05:31PM

SINGAPURA: Nama siswazah undang-undang yang mengaku memalsukan ijazah sarjana muda dan transkrip akademiknya supaya kelihatan menyerlah, digugurkan daripada daftar peguam hari ini (22 Jan).

Jaya Anil Kumar, 30 tahun, tamat pengajian di Universiti Nasional Singapura pada 2011.

Mahkamah diberitahu bahawa dia memalsukan dokumen-dokumen akademiknya sebanyak dua kali - kali pertama pada Jan 2013, ketika dia menyerahkan transkrip akademiknya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman.

Tiga tahun kemudian, pada Okt 2016, dia menukar ijazah sarjana mudanya semata-mata untuk menunjukkan bahawa dia mendapat "Kepujian Kedua Atas" walhal dia hanya meraih kepujian Kelas Kedua Bawah.

Dia didenda S$10,000 pada Januari tahun lalu atas kesalahan-kesalahan yang dilakukannya. Mahkamah diberitahu bahawa dia memalsukan dokumen-dokumen itu untuk mencerahkan peluang mendapatkan pekerjaan dengan Perkhidmatan Guaman Singapura.

Pada Isnin (21 Jan), Mahkamah Rayuan mendengar permohonan oleh Persatuan Guaman supaya nama Jaya digugurkan daripada daftar peguam.

Jaya diiktiraf sebagai seorang peguam bela dan peguam cara pada Julai 2012.

Peguam Jaya merayu kepada Mahkamah supaya nama anak guamnya tidak digugurkan daripada daftar peguam dan sebaliknya melanjutkan tempoh penggantungannya atas sebab Jaya "masih muda dan kurang berpengalaman".

Hakim Tay Yong Kwang, Belinda Ang dan Quentin Loh menegaskan bahawa "sebarang mahasiswa undang-undang atau siswazah muda daripada jurusan itu tahu bahawa tindakan memalsukan dokumen adalah satu jenayah".

"Jaya terus-menerus bertindak secara tidak jujur semata-mata untuk mencapai apa yang diinginkan dalam kerjaya," kata para hakim.

Mereka menarik perhatian bahawa Jaya "tidak berterus terang" apabila disoal Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman, enggan memberi izin kepada suruhanjaya itu untuk meminta penjelasan NUS tentang kelainan yang ditemui pada dokumen-dokumennya.

"Kami tidak mendapati sebarang sebab munasabah yang mewajarkan tindakannya dan keputusan menggugurkan namanya daripada daftar peguam adalah tepat," kata para peguam.

Mereka menambah bahawa keputusan itu diambil dengan berat hati dan tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa Jaya "nyatanya tidak jujur".

"Semua orang boleh menyesali perbuatan mereka dan berubah. Selepas ini, dia perlu mengatur rancangan kehidupannya, memikirkan semula tentang apa yang bermakna baginya, dan menunjukkan bahawa dia benar-benar menyesal lalu menuntut supaya Mahkamah membenarkannya menawarkan khidmat guaman," kata para hakim.

Jaya juga diarah membayar Persatuan Guaman S$5,000 bagi kos dan pembelanjaan yang ditanggung.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan