Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Naik gaji, kurangkan waktu kerja demi kebaikan pengawal keselamatan, kata Zainal Sapari

Pemerintah menerima saranan bagi gaji bulanan para pengawal keselamatan dinaikkan manakala waktu bagi kerja lembur mereka dihadkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah menerima saranan bagi gaji bulanan para pengawal keselamatan dinaikkan manakala waktu bagi kerja lembur mereka dihadkan.

Mulai 2019, gaji asas para pekerja akan dinaikkan sehingga sekitar $300 sepanjang tempoh tiga tahun. Mereka juga akan menerima kenaikan tahunan sekurang-kurangnya 3%, tiga tahun selepas itu.

Perincian saranan-saranan itu diumumkan Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Keselamatan (STC) dalam satu sidang media hari ini (23 Nov).

Agensi-agensi keselamatan harus melaksanakannya mulai 1 Januari 2019.

Kenaikan gaji bermula 2019 manakala pengecualian bagi kerja lembur pula ditiadakan mulai 2021.

Para pengawal keselamatan sektor privet akan dapat menikmati kenaikan gaji asas sebanyak $300, manakala para pengawal keselamatan kanan pula tambahan $285, sepanjang tiga tahun, bermula 2019 sehingga 2021.

Tiga tahun selepas itu, mereka akan menerima kenaikan gaji sekurang-kurangnya 3% setahun.

Bagi menyediakan masa bekerja lebih pendek, pengecualian bagi kerja lembur akan ditiadakan bagi syarikat-syarikat keselamatan mulai 2021.

Semua pegawal keselamatan akan dibenarkan bekerja hanya sehingga 72 jam sebulan bagi kerja lembur.

Ini bermakna, tiada lagi waktu bekerja giliran 12 jam, enam hari seminggu.

Amalan sekarang di mana syarikat-syarikat keselamatan membuat permohonan pengecualian jika mereka inginkan para pengawal bekerja melebihi batasan tersebut, juga tidak lagi diteruskan mulai 2021.

"Dengan perubahan yang dicadangkan, mereka yang bekerja sebagai pegawai keselamatan akan menikmati kenaikan gaji pada setiap tahun. Ia juga memastikan bahawa gaji mereka tidak akan turun atau "reset" bila kontrak itu diperbaharui atau mereka bekerja dengan majikan baru. Kedua, ia juga memastikan bahawa mereka dapat mengurangkan waktu mereka bekerja. Sebab kami maklum ramai pekerja keselamatan pada masa kini kerja agak lama dan ini akan menjejas kesihatan mereka secara umum," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Zainal Sapari.

Perubahan-perubahan ini dibuat dalam usaha menarik warga muda Singapura menyertai sektor keselamatan yang menyaksikan permintaan bagi pengawal keselamatan kian meningkat.

Ini disebabkan adanya lebih banyak bangunan dan prasarana baru serta meningkatnya ancaman pengganasan.

Dalam hal itu, penggunaan teknologi dalam kerja harian ditekankan dan akan diperluas namun, latihan kemahiran disediakan.

Pengawal Keselamatan Kanan, Encik Sueb Samadi Teknologi menyambut baik perubahan-perubahan tersebut.

"Sekarang itu senang untuk diatasi. Awak spend beberapa jam, teruskan latih, saya rasa 2-3 hari awak boleh master dia punya teknologi. Tak ada apa yang susah saya rasakan," ujarnya.

Saranan-saranan itu, susulan kepada semakan ke atas model gaji progresif dalam industri keselamatan.

Sekitar 34,000 pekerja keselamatan tempatan dan penduduk tetap dijangka meraih manfaat daripada perubahan-perubahan tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan