Nahas pesawat Lion Air: Pemimpin S'pura ucap takziah
Para pemimpin Singapura pada Selasa (30 Okt) menyampaikan ucapan takziah menyusuli kejadian pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut berdekatan pulau Java, Indonesia.
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura pada Selasa (30 Okt) menyampaikan ucapan takziah menyusuli kejadian pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut berdekatan pulau Java, Indonesia.
Kesemua 189 penumpang dan anak kapal dikhuatiri meninggal dunia.
Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis surat takziah kepada rakan sejawatan mereka menyusuli nahas itu.
Dalam suratnya kepada Presiden Joko Widodo, Puan Halimah menulis beliau "amat bersedih" mendengar berita nahas tersebut.
"Bagi pihak rakyat Singapura, saya menyampaikan rasa simpati yang amat mendalam kepada ahli keluarga yang menghadapi kehilangan serta seluruh rakyat Indonesia," kata Presiden Halimah.
Beliau menambah: "Singapura bersedia menawarkan sebarang bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat."
Juga menulis kepada Presiden Widodo, PM Lee bagi pihak Pemerintah mengutuskan ucapan "takziah yang mendalam" kepada keluarga-keluarga yang kehilangan orang-orang tersayang.
"Ingatan kami bersama warga Indonesia dalam masa duka ini," kata PM Lee.
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan mengutuskan ucap takziah kepada Menteri Ehwal Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi.
"Jangan teragak-agak untuk memaklumkan kami sekiranya kami dapat membantu," tulis Dr Balakrishnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.