Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nadia Nasuha, Muhd Sofian antara 2 lulusan cemerlang NTU tahun ini

Bermula Jumaat (17 Sep) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) meraikan pencapaian sekitar 9,300 penuntutnya yang tamat pengajian tahun ini menerusi majlis-majlis konvokesyen bagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bermula Jumaat (17 Sep) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) meraikan pencapaian sekitar 9,300 penuntutnya yang tamat pengajian tahun ini menerusi 44 majlis konvokesyen.

Lebih 66 peratus daripada mereka kini graduan ijazah dan sarjana muda sementara yang lain adalah lulusan possiswazah.

Dalam laporan ini, BERITAmediacorp menjenguk perjalanan dua daripada siswazah NTU itu dalam mengejar cita-cita mereka.

Yang seorang menanam azam menjadi doktor setelah ayahnya disahkan menghidapi barah. 12 tahun kemudian, dia bergelar doktor pada usia 24 tahun.

Seorang lagi merupakan antara graduan paling cemerlang NTU walaupun dia mengambil dua bidang pengkhususan berbeza. Kedua-dua bidang yang diambil berkait rapat dengan minatnya sejak kecil lagi tetapi lebih penting lagi, ia bersangkut paut dengan kehidupan rakyat Singapura.

Ini kisah mereka.

NADIA NASUHA LULUSAN SARJANA MUDA PERUBATAN & PEMBEDAHAN

Ketika berusia 12 tahun, Nadia Nasuha Mohammad Nazri dikejutkan dengan khabar bahawa ayahnya terkena barah pangkal hidung atau nasopharyngeal cancer. Detik hitam itu meruntunkan hatinya.

Saat itu, barulah anak sulung tiga beradik itu menyedari bahawa sesiapa sahaja boleh jatuh sakit dan keinginan menjadi seorang doktor pula berputik dalam dirinya.

"Pengalaman saya melihat bapa saya ada barah... itu salah satu sebab saya mahu menjadi doktor. Saya meraih inspirasi dari doktor-doktor yang menjaga keluarga saya. Cara mereka menjaga pesakit memberi saya ilham untuk menjadi doktor yang sama seperti mereka," cerita Nadia.

Mujur barah yang dihidapi ayah Nadia masih pada peringkat awal ketika itu.

(Gambar-gambar fail: Nadia Nasuha) 

Semasa menuntut di Raffles Institution pula, Nadia menjadi semakin yakin ingin menjadi doktor ketika melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

"Saya lihat kerjaya dalam jagaan kesihatan dapat memberi kesan yang langsung kepada kehidupan orang lain. Kerjaya sebagai seorang doktor akan membolehkan saya memperoleh kemahiran untuk membawa kesan kepada kehidupan mereka," ujarnya.

Dari situlah, Nadia mula rajin bertanya-tanya tentang laluan kerjaya menjadi seorang doktor. Dia antara lain bertanya dengan senior di sekolah dan juga mengajukan pertanyaan dalam sesi ceramah seperti yang dianjurkan Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA).

Dengan keputusan GCE 'A' yang cemerlang, Nadia seterusnya memilih untuk memasuki Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di NTU. Bukan mudah untuk memasuki sekolah itu.

Para pemohon perlu menduduki Ujian Kemasukan BioPerubatan (BMAT) sebelum harus menjalani saringan dengan menghadiri beberapa sesi temu duga. Tempoh pengajian demi menggengam ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan atau MBBS di sekolah itu juga lebih panjang berbanding fakulti lain - lima tahun.

PENGAJIAN SEMPAT TERJEJAS TAPI AKHIRNYA BERGELAR DOKTOR

Hakikatnya, ramai pelajar terjejas oleh keadaan pandemik yang berlaku sejak awal tahun lalu. Nadia juga tidak terkecuali.

"Antara Februari hingga April 2020, pengajian saya terjejas oleh COVID. Sebabnya, sebagai pelajar perubatan, kami tidak dibenarkan kembali ke hospital kerana hospital sibuk dengan menjaga pesakit-pesakit COVID," kongsi Nadia.

'Kegenjotan' ini juga berlaku ketika Nadia seharusnya membuat persiapan menjadi seorang doktor setelah dua tahun kerap menjalani latihan di beberapa hospital berbeza merata Singapura.

"(Bagaimanapun) saya juga bersyukur bahawa sekolah saya bertungkus-lumus mengadakan banyak kuliah dan juga sesi simulasi di mana kami masih boleh berinteraksi dengan pesakit. Dalam sekolah perubatan, kami harus mempelajari banyak maklumat dalam waktu yang singkat. Sebabnya, bila kami bermula bekerja sebagai doktor, ia melibatkan nyawa-nyawa orang lain," tambah Nadia.

Kini pada usia 24 tahun, Nadia sudahpun bergelar doktor dan bertugas di jabatan pembedahan ortopedik Hospital Besar Changi.

Lebih manis lagi, majlis konvokesyen pada Sabtu (18 Sep) akan dapat disambut bersama ayahnya yang sudahpun bebas barah.

"Saya bersyukur saya ada banyak sokongan dari keluarga yang banyak menolong saya dalam perjalanan untuk menjadi seorang doktor."

MD SOFIAN RAIH KEPUJIAN TERTINGGI DI NTU

Seorang lagi anak Melayu cemerlang di NTU dan akan meraikan majlis konvokesyennya minggu depan (24 Sep) ialah Muhd Sofian Mohd Tahir.

(Gambar: Md Sofian)

Siswazah jurusan kejuruteraan sivil dan sekitaran itu meraih purata nilai gred (GPA) 4.72. Bermakna, Sofian meraih gred A bagi kebanyakan modul yang diambilnya sehingga lulus dengan kepujian tertinggi (highest distinction).

Ini dicapai Sofian walaupun dia mengambil dua bidang pengkhususan berbeza, iaitu kejuruteraan am dan sekitaran serta sistem bandar.

Rahsianya? Sofian sekadar melakukan yang terbaik dalam bidang berkaitan dengan perkara yang benar-benar diminati - pengangkutan awam.

"Bila saya kecil dahulu, datuk saya selalu membawa saya menaiki MRT. Itulah yang dari sejak bermulanya minat saya dengan pengangkutan awam.

"Itulah peluang bagi saya melihat stesen-stesen MRT dan juga kereta api yang ada di MRT kita. Dan itulah membuat saya lebih bertanya mengapakah sistem pengangkutan kita dibuat begini dan mengapakan reka bentuknya begini," cerita Sofian.

"Semasa kecil, saya suka bermain permainan komputer yang melibatkan membina bandar-bandar. Sehingga sekarang juga, saya masih bermain dengan permainan itu. Dan itulah membuat saya berfikir, bagaimanakah kita dapat membuat perjalanan penumpang-penumpang di Singapura amat selesa dan bagaimana sistem pengangkutan awam boleh menjadi sesuatu yang dibanggakan."

MAIN PERANAN TINGKAT SISTEM PENGANGKUTAN SEMASA MASIH LAGI DI NTU

Sebenarnya, ketika masih bergelar mahasiswa, bekas pelajar Maktab Rendah Raffles ini sudahpun memainkan peranan dalam mempertingkat sistem pengangkutan Singapura. Ini kerana dia terlibat dalam projek Pusat Ujian Kereta Api Bersepadu (ITTC) semasa menjalani latihan amali pada tahun ketiga di NTU.

(Gambar: Facebook/LTA)

ITTC adalah satu kemudahan baru yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada 2024. Kemudahan itu akan memenuhi keperluan laluan-laluan MRT seluruh Singapura di mana lebih daripada satu projek boleh diuji secara serentak.

"Saya terlibat dalam pemberian tender bagi pembangunan kemudahan itu. Memandangkan ia yang pertama seumpamanya di Singapura, ia agak mencabar kerana pasukan bertanggungjawab tidak mempunyai pengalaman berkaitan. Jadual pembinaan juga padat sementara nilai projeknya sangat tinggi," terang Sofian tentang antara cabaran dihadapi pasukan yang dibantunya ketika itu.

Di samping itu, projek tersebut memerlukan kerjasama pelbagai jabatan.

"Sebagai pasukan projek, mereka ibarat pusat usaha ini, mereka yang berunding dengan pelbagai pihak. Jadi saya juga membantu dalam urusan ini," tambah Sofian lagi.

Selepas tamat pengajian di NTU, Sofian seharusnya mula bekerja dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kerana terikat bon 4 tahun sebagai penerima Biasiswa Sarjana Muda LTA.

Namun begitu, dia kini tidak akan terus bekerja. Dek cemerlang, Sofian kini mendapat satu lagi biasiswa - juga dari LTA - untuk mengikuti pula pengajian sarjana di Jerman dalam sains sistem pengangkutan bermula bulan depan.

Jadi secara keseluruhan, Sofian akan terikat selama 6 tahun dengan badan pemerintah itu.

"Orang akan cakap (bon tersebut) panjang. Sebenarnya lebih bernilai bagi saya kerana saya dah dapat melihat sesuatu projek, dari mula sehingga akhir," katanya lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan