Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muzium Negara buka bilik istimewa untuk kanak-kanak berkeperluan khas

Ruang itu sesuai untuk kanak-kanak yang mungkin mengalami penstimulan atau rangsangan sosial yang keterlaluan, khususnya kanak-kanak autisme yang mungkin memerlukan persekitaran yang lebih tenang.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Negara buka bilik istimewa untuk kanak-kanak berkeperluan khas

Muzium Negara melancarkan Bilik Senyap pada 1 Ogos. (Gambar: Khoo Guo Jie/ Lekker Architects)

Diterbitkan : 02 Aug 2019 05:17PM Dikemas Kini : 05 Aug 2019 11:52AM

SINGAPURA: Muzium Negara melancarkan sebuah bilik istimewa yang diberi nama Quiet Room pada Khamis (1 Ogos).

Ruang itu sesuai untuk kanak-kanak yang mungkin mengalami penstimulan atau rangsangan sosial yang keterlaluan, khususnya kanak-kanak autisme yang mungkin memerlukan persekitaran yang lebih tenang.

Bilik seluas 25 meter persegi itu disokong oleh BNP Paribas dan ia juga direka sedemikian rupa agar ia berupaya menampung lapan individu, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak, pada satu-satu masa.

Ruang itu menawarkan suasana yang cukup selesa dengan lampu yang boleh ditukar pencahayaannya untuk para pengasuh menyesuaikannya dengan citarasa kanak-kanak itu sendiri.

Terdapat juga kusyen-kusyen bentuk geometri untuk kanak-kanak menenangkan diri dan ruang berlapik yang bertujuan untuk menyediakan tempat rehat bagi para pengunjung.

Muzium Negara sudah merintis beberapa inisiatif untuk meningkatkan akses dan memastikan ia bersifat inklusif bagi para pengunjung berkeperluan khas sejak 2016.

Ini termasuk membuka sejam lebih awal untuk menerima kunjungan Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas lantas menawarkan persekitaran yang lebih senyap bagi para pelajar.

"Pagi Senyap" juga diadakan pada hari Sabtu pertama dan hari Khamis pertama dan ketiga setiap bulan.

Galeri Sejarah Singapura muzium itu turut menampilkan kemudahan yang mesra pengguna seperti Sudut Senyap iaitu sebuah ruang rehat dalam galeri itu sendiri.

Ruang-ruang itu dilengkapi dengan Pod Senyap iaitu sebuah pod yang menyediakan ruang senyap sekaligus memberikan privasi kepada para pengunjung.

Timbalan Pengarah Muzium Negara Wong Hung Suen berkata: "Muzium Negara mahu mewujudkan ruang yang selamat dan inklusif di mana para pengunjung boleh berkumpul untuk mempelajari dan menghargai sejarah dan warisan negara.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas, pertubuhan khidmat sosial dan kumpulan masyarakat untuk memperkenalkan mereka kepada Pagi Senyap kami dan mengundang keluarga-keluarga bersama anak-anak mereka yang berkeperluan khas, terutama sekali kanak-kanak autisme untuk menyertai program-program kami." 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan