Images
  • 10 sep haze sg
    Jerebu di Singapura pada 10 Sep (Gambar: Mediacorp)

Mutu udara S'pura mungkin cecah paras 'tidak sihat' akibat tompok panas Indonesia: NEA

SINGAPURA: Indeks Pencemaran Udara (PSI) di Singapura mungkin meningkat ke paras tidak sihat jika keadaan jerebu di Sumatera berterusan atau bertambah buruk, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (10 Sep).

Sehingga jam 10.00 malam pada Selasa, PSI 24 jam berada dalam lingkungan sederhana antara 84 dan 95. Bacaan PSI antara 101 dan 200 menunjukkan mutu udara tidak sihat.

Bacaan PM2.5 sejam yang menunjukkan pencemaran zarah berada di paras biasa sehingga 10.00 malam.

"Keseluruhannya, PSI untuk 24 jam akan datang diramalkan berada di paras tinggi lingkungan sederhana," kata NEA dalam satu kenyataan media.

"Bergantung kepada keadaan tiupan angin, PSI mungkin menjangkaui lingkungan tidak sihat jika keadaan jerebu di Sumatera berterusan atau bertambah buruk."

Sebanyak 537 tompok panas diisytiharkan di Sumatera pada Selasa, satu lonjakan berbanding 380 yang dilaporkan pada Isnin.

"Jerebu asap sederhana hingga tebal terus dikesan di kawasan tompok panas di wilayah Riau dan Jambi," tambah NEA.

Agensi itu menambah, 749 tompok panas juga dikesan di Kalimantan.

Kebakaran hutan merebak di beberapa bahagian Sumatera dan Kalimantan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan pemerintah Indonesia mengerahkan ribuan anggota tentera dan polis untuk memadamkan api.

Negara-negara jiran kerap merungut tentang jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan - yang lazimnya tercetus akibat petani yang cuba menebang kawasan tanah untuk penanaman kelapa sawit dan pulpa.

Di Malaysia, mutu udara merosot ke paras "tidak sihat" di dalam dan sekitar Kuala Lumpur, menurut indeks pencemaran udara kerajaan itu.

Sekitar 400 buah sekolah ditutup di sembilan daerah di Sarawak pada Selasa, dengan lebih 150,000 pelajar terjejas, menurut jabatan pendidikan tempatan.

Namun Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) indonesia pada Selasa menafikan laporan Malaysia dan Singapura yang menyatakan asap di negara mereka berpunca dari kebakaran hutan.

Pengerusi badan tersebut dalam satu sidang media berkata kebakaran juga dikesan di Malaysia, Filipina, Papua New Guinea, Vietnam, Timor Timur dan Thailand.

Kebakaran pada 2015 di Indonesia adalah yang paling buruk dalam tempoh dua dekad, menyebabkan rantau ini diselebungi jerebu selama berminggu-minggu.

Presiden Joko Widodo bulan lalu memberi amaran bahawa para pegawai akan dipecat jika mereka gagal memadamkan kebakaran hutan.

- CNA/TQ/tq

Top