Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mutu udara S'pura boleh cecah paras 'tidak sihat' dalam 24 jam seterusnya: NEA

Mutu udara di Singapura boleh mencecah paras tidak sihat dalam tempoh 24 jam seterusnya "jika angin bertukar menjadi tidak menyenangkan dan keadaan berjerebu di Sumatera berterusan," menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Mutu udara S'pura boleh cecah paras 'tidak sihat' dalam 24 jam seterusnya: NEA

Pemandangan dari Mount Faber menunjukkan keadaan berjerebu pada 12 Sep 2019. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 10:11PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 10:21PM

SINGAPURA: Mutu udara di Singapura boleh mencecah paras tidak sihat dalam tempoh 24 jam seterusnya "jika angin bertukar menjadi tidak menyenangkan dan keadaan berjerebu di Sumatera berterusan," menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (12 Sep).

NEA menyatakan keadaan "agak berjerebu" di Singapura pada Khamis dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24-jam jatuh dalam lingkungan sederhana antara 75 hingga 87 pada 7.00 malam.

Bacaan PSI antara 101 hingga 200 menandakan paras tidak sihat.

"Keadaan berjerebu disebabkan asap jerebu daripada titik panas di tengah dan tenggara Sumatera yang ditiup oleh angin," menurut agensi tersebut. Ia menambah keadaan agak berjerebu dijangkakan buat sepanjang hari.

Sejumlah 222 titik panas dikesan di Sumatera, kebanyakannya di wilayah-wilayah Riau, Jambi dan Selatan Sumatera.

NEA menyatakan: "Asap jerebu sederhana hingga tebal terus kelihatan daripada titik panas yang berterusan di sana. Jerebu ditiup oleh angin merentasi Selat Melaka, menjejas Singapura dan beberapa bahagian Semenanjung Malaysia."

Di Kalimantan, tambahnya, ada 1,264 titik panas dikesan pada Khamis dan jerebu yang meluas terus kelihatan.

NEA menyatakan "sedikit hujan dijangkakan" di Singapura dalam beberapa hari berikutnya manakala keadaan cuaca di Sumatera dan Kalimantan akan kekal "kering secara am".

Angin sekarang diramalkan beralih untuk bertiup dari barat daya atau barat dan ini mungkin "membawa kepada keadaan berjerebu yang meningkat" di Singapura.

Menurut agensi itu, bagi tempoh 24 jam seterusnya, bacaan PM2.5 1-jam dijangka berada antara sederhana hingga dipertingkat.

NEA menasihatkan mereka yang sihat supaya mengurangkan kegiatan luar yang lasak atau yang berpanjangan manakala warga tua, wanita hamil dan kanak-knaak pula seharusnya mengurangkan kegiatan-kegiatan seumpama itu.

Mereka dengan penyakit paru-paru kronik atau jantung harus mengelakkan kegiatan sedemikan. 

Kebakaran merebak di beberapa bahagian Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, selama lebih sebulan. Pemerintah Indonesia sudahpun mengerahkan ribuan pegawai keselamatan untuk cuba memadamkan api kebakaran tersebut.

Kebakaran itu lazimnya berlaku apabila operasi untuk membersihkan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan pulpa.

Malaysia pada Jumaat (6 Sep) lalu menyatakan satu nota diplomatik akan dikirimkan kepada Indonesia untuk menggesa negara itu supaya mengambil tindakan segera terhadap kebakaran yang marak.

Ini membangkitkan sangkalan daripada Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia yang berkata tiada jerebu rentas sempadan dari negara itu ke negara-negara jiran kerana jumlah titik panas sudahpun berkurangan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan