Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mustafa Centre buka semula pasar raya setelah ditutup sebulan

Pusat beli-belah Mustafa Centre, yang sebelum ini merupakan kelompok COVID-19, membuka semula pasar rayanya pada Rabu (6 Mei), lebih sebulan setelah ia ditutup.

Anggaran Waktu Membaca:
Mustafa Centre buka semula pasar raya setelah ditutup sebulan

Pintu masuk ke pasar raya di Mustafa Centre (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 06 May 2020 07:58PM Dikemas Kini : 06 May 2020 08:03PM

SINGAPURA: Pusat beli-belah Mustafa Centre, yang sebelum ini merupakan kelompok COVID-19, membuka semula pasar rayanya pada Rabu (6 Mei), lebih sebulan setelah ia ditutup.

Semua bahagian lain pusat beli-belah itu, yang menjual pelbagai produk daripada pakaian hingga kasut dan elektronik, akan terus ditutup sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil dalam tempoh "pemutus rantaian jangkitan".

Pengarah urusan Mustafa, Encik Mustaq Ahmad memberitahu Mediacorp bahawa pasar raya seluas kira-kira 55,000 kaki persegi itu dibuka semula kira-kira 12 tengah hari pada Rabu. Ini berlaku setelah pihak pengurusan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membuka semula pasar raya di pusat beli-belah itu setelah pemeriksaan dilakukan, katanya.

"Kami telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan bahawa Mustafa selamat, termasuk menghadkan jumlah orang di dalamnya. Kami mempunyai sistem yang memantau jumlah itu,” katanya.

Jumlah pelanggan yang akan dibenarkan dalam pasar raya itu dihadkan kepada maksimum 325 orang pada satu-satu masa, katanya. Pihak pengurusan juga telah menerapkan langkah-langkah jarak selamat, seperti penanda di lantai untuk menjarakkan pelanggan di kaunter pembayaran.

Seperti di pasar raya lain di merata negara, para pelanggan juga perlu mengimbas kad pengenalan dan memeriksa suhu badan mereka, katanya. Buat masa ini hanya ada satu pintu masuk dan dua pintu keluar yang digunakan, berbanding enam pintu masuk dan pintu keluar sebelumnya.

Kira-kira 100 pekerja akan bekerja di pasar raya itu secara bergilir-gilir, tambah Encik Mustaq.

Ketika Mediacorp mengunjungi Mustafa Centre pada kira-kira 3.00 petang pada Rabu, para kakitangan memberitahu hanya pasar raya dan satu bahagian menjual coklat dibuka.

Pada 2 April, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa Mustafa Centre adalah sebuah kelompok COVID-19, dengan 11 kes terkait pada masa itu.

Keseluruhannya 124 kes COVID-19 dikaitkan dengan pusat beli-belah itu setakat 3 Mei.

Tidak lama kemudian, pusat beli-belah itu mengumumkan bahawa ia akan ditutup sekurang-kurangnya dua minggu, untuk menjalani proses pembasmian kuman secara profesional. Pihak pengurusan juga dinasihati oleh MOH untuk terus menutup pusat beli-belah itu untuk dua tempoh inkubasi, atau 28 hari, kata Encik Mustaq.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan