Images
  • ppis

Murid tadika PPIS hasilkan buku istimewa edisi dwiabad S'pura untuk Presiden Halimah Yacob

SINGAPURA: Bayangkan sebuah rumah yang mempunyai fungsi belon udara panas. Jika berlaku banjir, anda boleh mengaktifkannya supaya rumah akan terapung di udara sehingga banjir surut.

Bayangkan pula sebuah mesin kitar semula kertas yang boleh memproses kertas baru dengan segera. Menarik bukan?

Inilah antara teknologi-teknologi baru lagi canggih serta gambaran masa depan Singapura 200 tahun akan datang - dari kaca mata kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun di pusat tadika PPIS cawangan Bukit Batok.

Kesemuanya hampir 40 gambaran atau senario masa depan mereka hasilkan.

Idea-idea kreatif dan buah fikiran murid-murid Tadika 1 dan Tadika 2 di itu sedang dalam proses untuk dibukukan sempena memperingati 200 Tahun Singapura tahun ini.


Buku istimewa edisi dwiabad Singapura itu akan dihadiahkan kepada Presiden Halimah Yacob minggu depan.

Secara simbolik juga, 37 murid K1 dan K2 dipilih untuk menyumbang idea bagi buku ini, yang jika dikumpulkan usia mereka ia berjumlah 200 tahun - atau dwiabad Singapura.

Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECE) PPIS menyatakan, kegiatan itu bertujuan memperkasa murid-murid agar mereka tahu mereka juga ada peranan untuk membina Singapura yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

"Kami tertarik dengan cara kanak-kanak ini berfikir. Idea yang diutarakan dalam buku skrap ini adalah idea mereka.

"Kanak-kanak ini merupakan generasi yang bakal menerajui masa yang akan datang. Kerana itu penting bagi mereka untuk mempunyai wawasan," kata Pengetua Pusat ECE PPIS Bukit Batok, Aslizawati Aman.

Buku skrap bertajuk Our Gift to Istana atau Hadiah Kami kepada Istana itu akan diserahkan kepada Istana pada minggu depan. 

- BERITAmediacorp/fz

Top