Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid prasekolah kali terakhir ke sekolah 2 minggu sebelum disahkan COVID-19: ECDA

Seorang kanak-kanak di tadika Bethesda (Pasir Ris) Kindergarten yang diuji positif COVID-19, kali terakhir berada di sekolah lebih dua minggu sebelum diagnosis, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada Isnin (3 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Murid prasekolah kali terakhir ke sekolah 2 minggu sebelum disahkan COVID-19: ECDA

Tadika Bethesda (Pasir Ris). (Gambar: Laman web BPRK)

Diterbitkan : 03 May 2021 07:56PM Dikemas Kini : 03 May 2021 07:58PM

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak di tadika Bethesda (Pasir Ris) Kindergarten yang diuji positif COVID-19, kali terakhir berada di sekolah lebih dua minggu sebelum diagnosis, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada Isnin (3 Mei).

Kanak-kanak itu disahkan positif pada 29 April dan dikuarantin sejak 15 April setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sebelumnya.

"Oleh itu, kanak-kanak itu kali terakhir hadir di prasekolah lebih dua minggu yang lalu pada 14 April 2021, sebelum diuji positif pada 29 April 2021," jelas seorang jurucakap ECDA.

"Oleh kerana kanak-kanak itu dikuarantin dan tidak menghadiri prasekolah selama lebih 14 hari, kakitangan dan kanak-kanak di prasekolah berkenaan tidak dikuarantin atau dikenakan cuti ketidakhadiran oleh MOH (Kementerian Kesihatan) dan ECDA," tambah jurucakap itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, prasekolah tersebut melakukan pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh pada 29 April.

"ECDA bekerjasama dengan prasekolah tersebut untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan semua," tambah jurucakap itu.

Meskipun ECDA tidak memberikan butiran kes di prasekolah itu, senarai MOH bagi individu yang diuji positif pada 29 April termasuk seorang budak perempuan berusia empat tahun.

Dia dikenal pasti sebagai kes dalam masyarakat yang ada hubung kait dengan kelompok melibatkan zamil penyelidik kanan di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang disahkan positif COVID-19 pada 15 April.

Sekarang ini terdapat lima kes dalam kelompok tersebut, termasuk kanak-kanak empat tahun berkenaan, ibu serta bapanya, yang merupakan saudara lelaki penyelidik di NUS itu.

Jumaat lalu, ECDA menghantar surat yang memberitahu ibu bapa pelajar di Bethesda (Pasir Ris) Kindergarten mengenai kes COVID-19 tersebut.

Ibu bapa diberitahu mengenai keputusan untuk tidak mengenakan kuarantin atau LOA ke atas kakitangan atau kanak-kanak prasekolah terbabit.

"Kami faham beberapa kanak-kanak mungkin terjejas dengan maklumat bahawa rakan mereka diuji positif COVID-19," kata ECDA dalam surat itu.

"Kami menggalak anda untuk bercakap dengan anak anda dan membincangkan cara untuk sama-sama menjaga rakan-rakan sebaya."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan