Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murid bakal duduki PSLE semasa dikuarantin mesti beritahu sekolah 2 hari sebelum peperiksaan

Para murid yang sedang menjalani kuarantin dan mahu menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) mesti mengambil ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dan memaklumkan pihak sekolah dua hari sebelum menduduki peperiksaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Murid bakal duduki PSLE semasa dikuarantin mesti beritahu sekolah 2 hari sebelum peperiksaan

Gambar: istock

Diterbitkan : 28 Sep 2021 03:03PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 03:08PM

SINGAPURA: Para murid yang sedang menjalani kuarantin dan mahu menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) mesti mengambil ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dan memaklumkan pihak sekolah dua hari sebelum menduduki peperiksaan.

Peperiksan bertulis pertama PSLE dijadual berlangsung pada pagi Khamis (30 Sep).

Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) mengumumkan pada Ahad bahawa para murid yang sedang menjalani Perintah Kuarantin mungkin akan dibenarkan menduduki peperiksaan nasional akhir tahun itu sekiranya mereka diuji negatif COVID-19.

Menurut MOE dan SEAB, aturan bagi para murid yang sedang menjalani kuarantin dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19.

Menurut makluman yang dikeluarkan oleh MOE, ibu bapa mesti memaklumkan pihak sekolah mengenai Perintah Kuarantin itu sebelum 12.00 tengah hari dan juga tentang keputusan anak mereka untuk menduduki peperiksaan tersebut. Ini mesti dilakukan sekurang-kurangnya dua hari sebelum peperiksaan bermula.

Seorang pegawai Certis akan dikerahkan ke rumah mereka untuk menjalankan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dan menyediakan ujian ART untuk penggunaan seterusnya. MOE juga menyatakan para murid seharusnya tunggu di rumah untuk keputusan ujian PCR mereka, bukan "langsung bergegas ke klinik".

Ujian PCR mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk diproses.

"Sebaik sahaja anak anda menerima (Perintah Kuarantin), paling awal dia boleh menduduki peperiksaan PSLE adalah dua hari selepas makluman diberikan," menurut MOE.

"Sekiranya terdapat peperiksaan yang dijadualkan pada hari berikutnya selepas (Perintah Kuarantin) diterima, anak anda tidak boleh menduduki peperiksaan itu. Anak anda bagaimanapun boleh memohon pertimbangan khas melalui sekolah mereka."

Ibu bapa tidak perlu memaklumkan pihak sekolah tentang hasrat anak mereka untuk menduduki sebarang peperiksaan selepas itu, tambah MOE.

Para murid juga mesti mengambil ujian harian ART sementara menunggu hasil ujian PCR di rumah.

Jika hasil ujian PCR negatif, murid berkenaan seharusnya mengambil ujian ART pada malam itu juga dan memetik gambar hasil negatif tersebut. Ini mesti dilakukan pada 6.00 petang sebelum setiap peperiksaan.

Pada hari peperiksaan, hasil ujian negatif PCR dan gambar hasil ujian ART murid itu mesti ditunjukkan untuk membolehkannya menduduki peperiksaan PSLE itu.

Para murid perlu terus mengambil ujian ART sehari sebelum setiap baki peperiksaan yang bakal didudukinya.

Sekiranya seorang murid tertinggal menduduki salah satu peperiksaan semasa menjalani Perintah Kuarantin, mereka masih boleh menduduki peperiksaan bagi subjek-subjek lain jika hasil ujian PCR mereka negatif dan hasil ujian swab kendiri ART mereka sebelum setiap kertas peperiksaan juga negatif.

"Para murid digalakkan pergi ke sekolah sendiri. Ibu bapa yang sedang menjalani kuarantin boleh menemani anak mereka ke sekolah sekiranya mereka sudah memenuhi keperluan ujian yang sama," tambah MOE.

Murid sedemikian tidak seharusnya menaiki pengangkutan awam. Sebaliknya, mereka harus ke lokasi peperiksaan "dengan menaiki pengangkutan privet atau berjalan kaki, tanpa berhenti di mana-mana tempat semasa dalam perjalanan ke sekolah," menurut MOE lagi.

PERTIMBANGAN KHAS

MOE dan SEAB menyatakan pada Ahad bahawa para murid yang tidak dapat menduduki peperiksaan atas sebab yang sah boleh membuat permohonan bagi pertimbangan khas.

"Pertimbangan khas adalah prosedur yang sudah disediakan sejak sekian lama yang memberikan unjuran gred kepada para calon menerusi kaedah metodologi berasaskan bukti yang adil dan teliti," terang MOE.

"Dalam memberikan gred kepada para calon yang terjejas, SEAB akan menimbangkan beberapa sumber data seperti prestasi calon dalam peperiksaan lain di peringkat nasional dan sekolah bagi subjek yang terjejas serta prestasi kohort sekolah itu dalam peperiksaan di peringkat nasional dan sekolah bagi memastikan penilaian yang adil untuk semua calon.

"Kesemua pertimbangan khas dinilai berdasarkan keperluan setiap kes bagi memastikan gred yang diberikan adalah yang paling adil dan setepat mungkin."

Bagi para calon yang tidak dapat menduduki kesemua kertas peperiksaan bagi sesuatu subjek, keputusan peperiksaan awal mereka akan diambil kira untuk menentukan kedudukan mereka berbanding rakan sekolah dalam kohort yang sama.

Kedudukan mereka itu kemudian akan digunakan untuk menentukan gred.

Bagi para calon yang tidak dapat menduduki satu atau lebih kertas peperiksaan bagi sesuatu subjek, SEAB akan menggunakan prestasi calon itu dalam kertas peperiksaan lain untuk membuat unjuran gred bagi subjek itu. Prestasi mereka dalam peperiksaan awal juga akan diambil kira.

(Sumber: MOE)

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan