Images
  • care and share corner
    'Share and Care Corner' yang disediakan Shakthi mendapat sambutan mengalu-alukan sejauh ini. (Gambar: Jmaleni Saravanan/Facebook)

Murid 7 tahun guna wang simpanan sediakan barangan keperluan percuma

SINGAPURA: Menggunakan duit simpanannya sendiri, seorang budak perempuan 7 tahun memulakan satu inisiatif yang menyediakan barangan keperluan secara percuma buat penduduk memerlukan.

Shakthi dan ibunya Cik Jmaleni Saravanan sediakan satu sudut "Care and Share Corner" di tingkat dua Blok 170 Bukit Batok West Avenue 8 dengan barangan seperti mi segera, makanan tin, minyak masak dan biskut-biskut.


Antara barangan yang disediakan secara percuma. (Gambar: Jmaleni Saravanan/Facebook)

Menurut laporan Mothership, Shakthi mendapat idea itu daripada program amal sekolahnya, Project Smile yang menghulurkan barangan keperluan kepada murid-murid kurang bernasib baik.

Murid Sekolah Rendah Lianhua itu melancarkan inisiatif beliau itu pada 1 Jun lalu dan ia akan berlangsung sehingga 30 Jun.

Shakthi memulakan usaha murni beliau dengan menyumbang S$400, satu jumlah besar bagi seorang murid sekolah rendah.

Ia kemudian ditokok ibu bapanya dan wang terkumpul digunakan untuk membeli barangan-barangan keperluan.

Dalam pada itu, para relawan dari sekolah Shakthi yang mengendalikan Project Smile juga tampil untuk menderma lebih banyak barangan keperluan.

"Kini, pelbagai orang datang dan menyumbang barangan kerana mereka mahu projek ini terus berlangsung," kata Cik Jmaleni kepada Mothership.

Beliau turut mengongsi bahawa sambutan setakat ini amat memberangsangkan dengan barangan-barangan di sudut yang mereka sediakan itu habis diambil kira-kira setiap tiga hari.

Cik Jmaleni berkata anaknya sangat teruja dan bersemangat apabila melihat barangan sudah kehabisan dan perlu ditambah.


Nota penghargaan seperti ini menyuntik semangat dalam diri Shakthi. (Gambar: Jmaleni Saravanan/Facebook)

Mothership melaporkan Shakthi juga menerima nota-nota terima kasih daripada mereka yang menerima manfaat daripada usahanya itu bahkan ada yang turut mengucapkan terima kasih langsung kepadanya.  

LAPORAN-LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/SM/sm

Top