Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Murali Pillai dari PAP dicabar ketua SDP Chee Soon Juan di SMC Bukit Batok

Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Murali Pillai akan sekali lagi berentap dengan Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan bagi merebut kawasan undi perseorangan (SMC) Bukit Batok. Kedua-dua calon itu berjaya memfailkan kertas pencalonan mereka di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Selasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Murali Pillai dari PAP dicabar ketua SDP Chee Soon Juan di SMC Bukit Batok

Calon PAP Murali Pillai berentap dengan Ketua SDP Chee Soon Juan bagi undi di SMC Bukit Batok. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 05:11PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 05:12PM

SINGAPURA: Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Murali Pillai akan sekali lagi berentap dengan Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan bagi merebut kawasan undi perseorangan (SMC) Bukit Batok. Kedua-dua calon itu berjaya memfailkan kertas pencalonan mereka di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Selasa (30 Jun).

Encik Pillai mengatasi Dr Chee dalam pilihan raya kecil 2016 dengan meraih majoriti 61.2 peratus undi. Pilihan raya kecil Bukit Batok itu diadakan selepas wakil PAP David Ong meletak jawatan ekoran pendedahan berkaitan dakwaan hubungan sulitnya dengan seorang aktivis akar umbi.

Apabila ditanya perasaan beliau sebelum memfailkan kertas pencalonan, Encik Murali berkata: "Ia adalah sebahagian daripada perjuangan sembilan hari. Saya akan melakukan yang terbaik untuk meyakinkan penduduk Bukit Batok tentang rancangan saya bagi mereka."

Dalam satu ucapannya kemudian, Encik Pillai berkata pilihan raya akan datang adalah tentang "memilih orang yang tepat" untuk memimpin Singapura "keluar daripada ribut dahsyat ini".

"Tujuannya adalah untuk menjadikan Bukit Batok sebuah masyarakat yang lebih kukuh dengan masa depan lebih cerah," kata Encik Pillai.

Sementara itu, Dr Chee Soon Juan yang tiba sekitar 11.30 pagi, mengesahkan awal bulan ini rancangannya untuk bertanding dalam kawasan unti tersebut.

"Pilihan raya ini adalah tentang memilih calon untuk mewakili anda di parlimen, memilih seseorang yang boleh berkhidmat sepenuh masa. Saya akan buktikan kepada anda pada hari-hari mendatang bagaimana lawan saya di Bukit Batok tidak menepati janjinya dan ini akan menjadi isu besar di Bukit Batok,” kata Dr Chee setelah mengesahkan pencalonannya.

SMC Bukit Batok digabungkan dengan GRC Bukit Timah pada 1997. Ia kemudian menjadi sebahagian daripada GRC Jurong sebelum dikeluarkan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum 2015. Tahun ini, kawasan undi itu mempunyai 29,950 pengundi.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan