Images
  • yishun hawker park
    Pusat Penjaja Yishun Park. (Gambar: Lennard Lim)

Murah! Durian Mao Shan Wang dan Nasi Lemak Ayam Taliwang berharga S$1 sahaja

SINGAPURA: Zaman sekarang ini, manalah mungkin anda dapat menikmati hidangan penjaja dan buah durian pada harga serendah S$1 sahaja. Kan?

Tapi jangan terkejut kerana itu bukan perkara mustahil di Yishun!

Pada 29 Jun ini, Pusat Penjaja Yishun Park akan kembali dengan edisi kedua 'Karnival S$1' yang akan berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang. Berita baik itu diumumkan pengendali pusat penjaja tersebut, Timbre Group, pada Selasa (11 Jun).

Hanya dengan duit syiling S$1, para pengunjung dapat memilih untuk menjamu selera daripada aneka juadah khas oleh 26 gerai penjaja yang mengambil bahagian.

Antara gera-gerai tersebut termasuk Kalsom Kuih Muih, Haji Osman Nasi Ayam, Teh Tarik dan Nasi Lemak Ayam Taliwang. Meskipun harganya rendah, kuantiti hidangan yang dijual tidak akan dikompromi. Bahkan, para pengunjung dijanjikan hidangan murah hati lagi berpatutan.

Selain nasi ayam, roti prata atau epok-epok, beberapa pegerai juga akan menyediakan jualan makanan-makanan tempatan kegemaran ramai yang diolahkan menjadi moden. Misalnya, mereka yang 'hantu pedas' boleh mencuba nasi lemak ayam taliwang.

Menurut Timbre, setiap pelanggan boleh membeli sehingga dua hidangan makanan S$1 setiap kali mereka beratur di gerai-gerai yang mengambil bahagian.

Bukan itu sahaja, terdapat 1,000 kilogram durian menanti para penggemar raja buah itu. Lebih berbaloi lagi, jenis-jenis durian seperti Mao Shan Wang, Red Prawn dan D24 akan dilelongkan pada harga yang sama iaitu S$1 setiap biji.

Bagaimanapun, jumlah durian yang boleh dibeli pelanggan bergantung kepada bilangan makanan S$1 yang dibeli mereka daripada para penjaja. Timbre menyatakan beberapa resit boleh diserahkan untuk pembelian durian.

Acara-acara kemuncak lain karnival itu termasuk sebuah bengkel untuk mempelajari cara memilih buah durian yang betul serta pelbagai kegiatan percuma khas buat kanak-kanak seperti melukis muka.

Masuk adalah percuma dan khidmat bas ulang-alik percuma juga akan disediakan dari stesen-stesen MRT Sembawang, Yishun serta Khatib. 

- TODAYonline/FZ/fz

Top