Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mungkinkah bahasa Melayu diajar dalam bahasa Inggeris pada tahun 2065?

Mungkinkah bahasa Melayu diajar dalam bahasa Inggeris pada tahun 2065? Ini kerana pada tahun 1980, hampir 98% keluarga Melayu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama berkomunikasi. Tapi bilangannya menjunam kepada 60% tahun 2020. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 40 tahun dari sekarang, Bahasa Melayu mungkin perlu diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Demikian senario yang mungkin berlaku, menurut pakar bahasa Dr Mohamed Aidil Subhan semasa menyampaikan ceramah dalam Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu pada Sabtu (11 Sep), sempena Bulan Bahasa sekarang ini.

PRIHATIN BAHASA INGGERIS DOMINAN DI RUMAH

Dalam ceramah itu Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NTU-NIE) itu menyampaikan topik 'Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong - Perspektif Perancangan Bahasa Melayu di Singapura Menjelang 2065'.

Beliau antara lain meluahkan keprihatinan tentang penggunaan bahasa Melayu yang semakin kurang menjadi bahasa utama dalam keluarga-keluarga Melayu.
Menggunakan data Banci Penduduk, Dr Aidil berkata pada tahun 1980, lebih 97 peratus keluarga Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah.

Bagaimanapun 40 tahun selepas itu, banci tersebut mendapati bilangannya menjunam kepada sekitar 60 peratus sahaja pada 2020, dengan Bahasa Inggeris sebaliknya terus semakin dominan dalam rumah-rumah Melayu.

Jadi, berdasarkan trend tersebut, apakah makna dan unjuran yang mungkin berlaku pada masa depan? Berikut jawapan Dr Aidil:

"Perlu ada perubahan dalam cara kita mengajar. Sekarang kita mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu.

"Mungkin menjelang 2065, kita perlu mengajar bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa lazim pelajar. Sebab bahasa Melayu mungkin tidak akan lagi menjadi bahasa lazim para pelajar semasa di rumah."

IBU BAPA MAIN PERANAN PENTING

Menurut Dr Aidil lagi, perancangan bahasa Melayu dari segi pendidikan sudahpun dilaksanakan pemerintah dan sekolah-sekolah menerusi pelbagai kempen dan pendidikan.

Jurang di luar domain pendidikan perlu diisi pula oleh para ibu bapa, kata beliau.

Ibu bapa juga memikul tanggungjawab untuk mencegah unjuran tersebut daripada menjadi kenyataan.

Dalam hal itu, Dr Aidil berkata bahawa para ibu bapa perlu menggunakan domain di rumah sebagai ruang untuk penggunaan bahasa Melayu.

Dalam ceramahnya itu, Dr Aidil menceritakan satu pengalaman peribadi bagi memaparkan betapa penggunaan bahasa di rumah berperanan mendidik anak kecil tentang penggunaan dan kosa kata bahasa Melayu.

Dr Mohamed Aidil Subhan (Gambar ihsan: Yayasan Warisan Melayu)

Dr Mohamed Aidil Subhan (Gambar ihsan: Yayasan Warisan Melayu)

"Saya ingat, saya pergi ke sebuah sekolah, ada pelajar cakap dengan cikgunya: 'Cikgu saya tidak dapat habiskan kerja rumah'. Cikgunya tanya kenapa. Dia kata: 'Saya tolong atok saya sental bilik air'.

"Saya bila dengar 'sental bilik air', saya rasa syahdu. Sebab istilah sental itu, sudah tidak ada orang lagi gunakan," ujar Dr Aidil.

Dalam pada itu, Dr Aidil juga menegaskan bahawa masyarakat perlu faham bahawa bahasa Melayu, juga sudah melalui evolusi yang pesat.

Masyarakat katanya perlu mengenal pasti perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ibunda, serta bahasa warisan.

Dr Aidil turut menyarankan pembentukan satu jawatankuasa untuk membincangkan istilah-istilah baru dalam bahasa Melayu di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan