Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mum's Kitchen Catering, Cherish Delights dapat semula lesen

Dua syarikat khidmat katering, yang lesen masing-masing digantung pada bulan lalu selepas 40 orang jatuh sakit setelah memakan makanan yang disediakannya, sudah dibenarkan untuk kembali beroperasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Mum's Kitchen Catering, Cherish Delights dapat semula lesen

(Gambar: Laman Mum's Kitchen Catering)

Diterbitkan : 09 Oct 2019 10:33PM Dikemas Kini : 09 Oct 2019 10:36PM

SINGAPURA: Dua syarikat khidmat katering, yang lesen masing-masing digantung pada bulan lalu selepas 40 orang jatuh sakit setelah memakan makanan yang disediakannya, sudah dibenarkan untuk kembali beroperasi.

Penggantungan lesen Mum's Kitchen Catering dan anak syarikatnya, Cherish Delights, ditarik balik pada Rabu (9 Okt) selepas "langkah-langkah sewajarnya" dilaksanakan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media bersama.

Lesen Mum's Kitchen Catering dan Cherish Delights masing-masing digantung pada 10 September dan 11 September, menyusuli dua kejadian radang perut dan usus atau gastroenteritis yang berasingan.

Seramai 40 orang jatuh sakit setelah memakan makanan yang disediakan kedua-dua syarikat katering antara 31 Ogos hingga 4 September, menurut kenyataan media tersebut.

Tiga orang dimasukkan ke dalam hospital dan mereka sudahpun dibenarkan pulang.

"Tiada kelemahan kebersihan didapati semasa pemeriksaan yang dijalankan di kedua-dua premis menyusuli insiden tersebut.

"Siasatan masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti punca penyakit radang perut dan usus," menurut pihak berkuasa.

Semasa tempoh penggantungan, kedua-dua syarikat khidmat katering mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan oleh SFA.

"Kedua-dua syarikat sudah mengemukakan pelan untuk meningkatkan rejim keselamatan makanan, termasuk rancangan dan proses untuk memastikan kakitangan mereka mengamalkan kebersihan makanan dan menyediakan makanan dengan betul pada setiap masa."

Para pengendali makanan yang terlibat dalam tugas menyediakan hidangan makanan juga sudah menghadiri semula dan lulus Kursus Kebersihan Makanan Asas.

Para pegawai kebersihan makanan di kedua-dua syarikat juga sudah menjalani semula latihan dan lulus kursus Audit Kebersihan Makanan dan Minuman WSQ.

SFA menyatakan ia akan terus memantau dengan teliti Mum's Kitchen Catering dan Cherish Delights bagi memastikan kedua-dua syarikat mematuhi pelan yang sudah dikemukakan.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan