Images
  • hdb (3)
    Blok HDB di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

MUIS terima 400 panggilan setahun berhubung kesulitan hak milik rumah

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima sehingga lebih 400 panggilan setahun berhubung masalah pemilikan rumah.

Lantaran itu, semakan Jawatankuasa Fatwa mengenai status Pemilikan Rumah secara Bersama atau Joint Tenancy, sebagai sah di sisi syarak, mampu mengurangkan pergeseran seperti itu.

Demikian menurut seorang asatizah yang juga ejen rumah Ustaz Mohammad Shahid Noor'ain, kepada BERITAmediacorp.

BANYAK KES SEPERTI 'SITI'

'Siti', bukan nama sebenar, kematian suaminya.

Sejak itu, beliau sering didesak oleh abang-abang iparnya supaya menjual rumahnya agar bahagian arwah suaminya itu dapat diagih-agihkan atas nama 'faraid'.

Menurut Ustaz Shahid Noor'ain, kes-kes seperti 'Siti' bukan suatu yang asing.

"Kita dapat banyak kes di mana pemilik bersama itu suami meninggal meninggalkan isteri, atau isteri meninggal di mana pemilik bersama ini didesak oleh ahli keluarga atau penuntut faraid itu untuk menjual rumah, di mana mungkin beliau sudah berumur, tidak bekerja lagi dengan 50 peratus tidak dapat membeli rumah yang baru," kongsi beliau.

MUIS TERIMA BANYAK KES KESULITAN

Secara purata katanya, MUIS menerima ratusan panggilan setahun berkaitan dengan kesulitan hak pemilikan rumah di sini.

"Dan juga saya dengar yang dalam setahun, MUIS dapat dalam 400 panggilan tentang rumah tentang Joint Tenancy (Pemilikan Bersama)," tekan beliau.


Lantaran itu, beliau mengalu-alukan fatwa berkaitan status Pemilikan Bersama yang disemak semula baru-baru ini.

Jawatankuasa Fatwa kini memutuskan, Pemilikan Bersama diterima dan sah di sisi syarak - bermakna, pemilik rumah yang hidup akan mendapat hak 100% ke atas rumah, jika pasangannya meninggal dunia.

Ia berbeza daripada fatwa tahun 2008 yang hanya memberikan 50 peratus hak kepada pemilik yang masih hidup.

Jika seseorang pasangan mahu bahagiannya dibahagi mengikut Faraid jika dia meninggal dunia, beliau boleh memilih skim 'Tenancy in Common', semasa membeli rumah.

"Secara umumnya, ia dapat melegakan, kenapa saya cakap secara umumnya kerana pada akhirnya, ia ikut keluarga masing-masing.

"Buat masa ini, pilihan itu jatuh di tangan mereka, semasa mereka sedang hidup dan ia tidak ada perjanjian yang sempurna, jadi mereka harus membeli mengikut keunikan keluarga mereka sendiri," kongsi Ustaz Shahid.

Ustaz Shahid menasihatkan agar pemilik rumah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada pakar sekiranya mereka berdepan dengan kesulitan daripada semakan fatwa yang baru ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top