Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS, rakan masyarakat terajui inisiatif #SGUnited Buka Puasa sempena Ramadan; sasar agihkan 15,000 makanan setiap hari

Sempena Ramadan yang bakal menjelang, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan berganding bahu dengan rakan-rakan kongsi masyarakat yang lain untuk menerajui inisiatif #SGUnited Buka Puasa - satu usaha masyarakat untuk menyediakan makanan sebagai juadah berbuka puasa. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena Ramadan yang bakal menjelang, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan berganding bahu dengan rakan-rakan kongsi masyarakat yang lain untuk menerajui inisiatif #SGUnited Buka Puasa - satu usaha masyarakat untuk menyediakan makanan sebagai juadah berbuka puasa. Ini menurut kenyataan media MUIS yang dikeluarkan pada Sabtu (18 Apr).

Di bawah inisiatif itu, hidangan berbuka puasa akan dihulurkan kepada dua kumpulan dalam masyarakat iaitu para karyawan jagaan kesihatan serta keluarga mereka dan juga penerima-penerima zakat MUIS di samping keluarga-keluarga lain yang memerlukan bantuan makanan tatkala masa mencabar ini.

(Gambar: MUIS)

Inisiatif tersebut bertujuan menzahirkan penghargaan serta kesepakatan masyarakat kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan untuk melawan COVID-19 serta menyokong golongan yang terjejas teruk angkara penularan virus korona.

Ia adalah satu usaha bersama antara masjid-masjid MUIS, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Persatuan Rakyat (PA), Roses of Peace serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood, berkata: "Setiap kali bulan Ramadan, biasanya, terdapat banyak sumbangan di masjid-masjid kita untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama.

"Walaupun masjid-masjid kita ditutup pada bulan Ramadan ini, MUIS dan masjid-masjid berbesar hati serta komited untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif yang bermakna ini bagi menghidupkan kembali semangat kemasyarakatan kita dan menunjukkan kesepakatan dengan para pekerja jagaan kesihatan selain mereka yang terjejas oleh krisis berterusan ini."

Inisiatif itu turut disokong oleh SGUnited, M³ dan Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu.

SASAR AGIHKAN 15,000 MAKANAN SETIAP HARI

Sepanjang bulan Ramadan ini, agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat akan bekerjasama untuk mengagihkan 15,000 juadah makanan setiap hari. Makanan-makanan akan dihantarkan ke 10 hospital, 20 Kelab Masyarakat (CC) dan rumah para penerima Zakat.

PENGUMPULAN DANA

Sejajar dengan tema Ramadan tahun ini iaitu 'Memperdalam Iman, Memperkasa Amanah', inisiatif tersebut akan menyatukan masyarakat untuk saling membantu dan menyokong antara satu sama lain sedang negara berusaha untuk menangani pandemik COVID-19 secara bersama. Ini termasuk terus menyokong golongan yang mudah terjejas dan masyarakat menerusi sumbangan online.

(Gambar: MUIS)

Lantaran itu, MUIS akan memulakan inisiatif tersebut dengan pendanaan bernilai S$1 juta.

RLAF juga akan melancarkan pengumpulan dana khas menerusi Giving.SG untuk mendapatkan derma daripada orang ramai bagi mengumpulkan lagi S$1.5 juta. Semua itu diharapkan dapat mencapai sasaran bagi pengumpulan dana projek sebanyak S$2.5 juta.

SOKONGAN BUAT MASYARAKAT

Bagi menyokong perniagaan setempat, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan melalui DPPMS kepada syarikat-syarikat tempatan seperti katerer dan khidmat penghantaran yang akan menyediakan serta menghantar makanan kepada keluarga terjejas akibat krisis ini di samping para karyawan kesihatan yang berjuang menempuh COVID-19.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Encik Azrulnizam Shah Sohaimi berkata: "Inisiatif ini menjadi lebih bermakna kerana ia membolehkan DPPMS bekerjasama dengan para anggotanya dalam industri makanan dan minuman (F&B), yang sendiri menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ia juga menekankan komitmen Dewan untuk berdiri teguh dalam kesepakatan bersama anggotanya sepanjang perjalanan perniagaan mereka."

Pendaftaran bagi juadah harian itu boleh dilakukan di bukapuasa.sg mulai 18 April 2020.

Makanan akan disediakan untuk diambil di 20 CC merata Singapura setiap hari dari 24 April hingga 23 Mei, antara jam 5.15 petang hingga 6.15 petang.

Para penduduk yang mendaftar bagi makanan itu perlu membawa kad pengenalan (NRIC) mereka semasa mengambil makanan dari CC. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan