Images
  • cHRISTCHURCH
    Gambar Masjid Al Noor di Deans Avenue di Christchurch, New Zealand, yang dipetik pada 2014. (Gambar: TODAY)

MUIS, Pergas & Forum Belia Islam kecam serangan amat kejam di Christchurch

BERITAmediacorp: Pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam Singapura sebulat suara mengecam serangan pengganas yang mengorbankan 49 nyawa di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini (15 Mac).

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi catatan di laman Facebooknya melahirkan rasa dukacita dan mengutuk perbuatan kejam itu.

"Kami menyeru semua rakyat Singapura supaya terus berdaya bingkas dan bersatu padu, sedang kita menolak fahaman-fahaman pelampau yang menjadi punca serangan-serangan ini. Dan ini tidak sekali-kali boleh dibiarkan berakar umbi di Singapura," tegas MUIS.

PERGAS SERU DOAKAN MANGSA

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) juga mengutuk perbuatan "amat kejam" yang berlaku di dalam masjid, sebuah tempat perlindungan.

"Pembunuhan nyawa-nyawa yang tidak berdosa itu samalah seperti serangan terhadap kemanusiaan seperti yang dinyatakan dalam agama kita," tegas Pergas.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Pergas turut mengucapkan takziah dan mendoakan anggota keluarga para mangsa sedang mereka bersedih atas pemergian insan-insan yang disayangi.

"Kami menyeru kepada semua supaya mendoakan keamanan dan kesejahteraan saudara Islam kita di New Zealand dan bersatu dengan mereka.

"Kami juga berharap agar masyarakat Islam di Singapura terus bersyukur atas keamanan di negara ini dan menghargai keharmonian yang kita nikmati," tambah Pergas.

"PEMUDA HARUS TENTANG PERBUATAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN" - MYF

Pertubuhan Forum Belia Islam (MYF) pula menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini melahirkan rasa sedih disebabkan insiden serangan keji tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di tempat yang suci, di mana manusia mencari ketenangan dan kedamaian.

Ia juga menyeru agar masyarakat bersama-sama bersatu hati mendoakan mereka yang terjejas akibat peristiwa "menyakitkan" itu.

"Para pemuda harus menentang perbuatan tidak berperikemanusiaan ini secara kolektif dan terus mencari inisiatif untuk menjadikan dunia ini tempat yang terbaik bagi semua," menurut MYF. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top