Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS lancar program FITRAH - sokongan holistik kepada pesalah & keluarga mereka

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melancarkan program baru yang dinamakan FITRAH bagi meningkatkan khidmat sokongan kepada tahanan Muslim dalam penjara dan para anggota keluarga mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melancarkan program baru yang dinamakan FITRAH bagi meningkatkan khidmat sokongan kepada tahanan Muslim dalam penjara dan para anggota keluarga mereka.

Pejabat FITRAH bertempat di Masjid En-Naeem dan Setiausaha Parlimen Kanan Dalam Negeri, Encik Amrin Amin berkunjung ke masjid tersebut untuk meninjau-ninjau kemudahan tersebut hari ini (12 Mei).

Encik Amrin turut berbuka bersama anggota keluarga pesalah di masjid tersebut.

Usaha FITRAH yang menyeluruh itu merupakan sebahagian daripada kerjasama Kementerian Dalam Negeri (MHA), Khidmat Penjara Singapura (SPS) dan MUIS serta masjid-masjid di bawah rangka kerja M³.

Antara lain, menerusi FITRAH, golongan pesalah yang masih dalam tahanan akan mendapat khidmat dan program lebih baik lagi.

Bantuan di luar penjara akan diberikan kepada anggota keluarga mereka mahupun kepada bekas-bekas banduan.

3 PERANAN UTAMA PEJABAT FITRAH

Dengan penubuhannya sejak November tahun lalu, Pejabat FITRAH mendukung tiga fokus utama:

Pertama, untuk menyelaraskan kelas-kelas agama serta solat Jumaat dan Hari Raya di penjara.

Kedua, membimbing bekas pesalah kembali ke pangkal jalan dan yang ketiga, memastikan keluarga yang terjejas oleh anggota yang dipenjara, diberi sokongan yang diperlukan untuk mereka meneruskan kehidupan.

Lebih 3,500 tahanan Muslim akan mendapat faedah menerusi khidmat-khidmat keagamaan.

Berucap di Masjid En-Naeem, Encik Amrin berkongsi tentang beberapa usaha baru dibawah FITRAH. Ia antara lain meliputi inisitiatif baru yang akan memberikan sokongan menyeluruh selepas pesalah dibebaskan dari penjara.

"Tugas FITRAH bukan senang ya, FITRAH adalah singkatan bagi 'Family dan Inmate Through Care Assistance Haven' atau Bahasa Melayunya, Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga.

"Khidmat yang kita berikan di FITRAH ini bersepadu dan tertumpu. Jika kita lihat masa lalu, khidmatnya mungkin tidak begitu diselaraskan. Badan-badan sendiri mengadakan insiatif-inisiatif mereka dan tiada satu pejabat yang sama-sama memberi arahan atau memberi tumpuan yang khusus kepada keperluan-keperluan yang tertentu yang diperlu oleh pihak pesalah serta keluarga-keluarga mereka yang ada di sini.

"Jadi saya rasa ini satu perkara yang baik kerana kalau kita bersatu, kita satu hati, kita dapat lakukan atau menggandakan lagi usaha kita," kata Encik Amrin.

PAKEJ 'KEMBALI KEPADA FITRAH' DIPERKENAL

Bagi memastikan para pesalah yang baru keluar dari penjara dapat memulakan lembaran baru dalam kehidupan mereka, FITRAH turut memperkenalkan pakej yang dipanggil "Kembali kepada FITRAH".

Di bawah pakej tersebut pegawai dan relawan FITRAH akan menyambut pesalah yang dibebaskan di pintu penjara, selain memberikan mereka maklumat tentang agensi bantuan serta sekeping kad EZLink dan baucar makanan.

"Kita memberi mereka kad Ezlink, kita memberi mereka bantuan dan kita memberitahu mereka di mana mereka boleh mendapat bantuan.

"Saya rasa ini sangat penting kerana pesalah atau bekas pesalah mungkin merasa mereka kecil, mereka merasa mereka tidak ada tempat, mereka merasa mereka tidak ada suara," kata Encik Amrin.

Sejak April lalu, FITRAH sudah mendekati lebih daripada bekas 25 pesalah yang sudah dibebaskan.

KUMPULAN PENDAMPING MASYARAKAT AKAN DIBENTUK

Bagi memastikan sokongan yang diberikan berbentuk holistik, FITRAH akan berkerjasama dengan masjid bagi membentuk satu kumpulan Pendamping Masyarakat bagi membantu keluarga pesalah mendapatkan sokongan masyarakat yang sedia ada.

Kumpulan tersebut akan menziarahi keluarga pesalah dan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.

"Jadi apa yang telah kita lakukan ialah dengan mengadakan 'Community Befriender' atau pendamping untuk mereka yang hendak keluar dari penjara dan setelah mereka keluar setahun. Dan juga bantuan untuk keluarga mereka semasa mereka berada di dalam dan selepas mereka keluar," jelas, Pengurus Program FITRAH, Ustaz Syahrin Mohd Salleh.

Menurut Pejabat FITRAH, ia berharap dapat merekrut sekitar 150 pegawai pendamping sukarela menjelang akhir tahun ini untuk membantu keluarga-keluarga pesalah.

Ini setelah ia melihat respons positif sejak enam bulan lalu yang menyaksikan jumlah relawan meningkat tiga kali ganda kepada 155 orang yang terdiri daripada asatizah serta pendamping masyarakat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan