Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS lancar portal OurMasjid.SG, kumpul dana sokong masjid di tengah COVID-19

Sebuah portal sehenti dilancarkan hari ini (13 Apr) bagi memudahkan orang ramai menyumbang derma secara tetap kepada masjid-masjid di Singapura di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah portal sehenti dilancarkan hari ini (13 Apr) bagi memudahkan orang ramai menyumbang derma secara tetap kepada masjid-masjid di Singapura di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.

Diberi nama OurMasjid.SG, wadah itu dibangunkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan kerjasama MuslimSG. Inisiatif pengumpulan dana secara online dari masyarakat itu adalah bagi menyokong kos operasi masjid-masjid di sini, yang pendapatannya terjejas dengan penutupan sejak 13 Mac.

DERMA MEROSOT, NAMUN KOS MENINGKAT

Menurut kenyataan medianya pada Isnin, MUIS, menjelaskan sumbangan orang ramai menerusi derma tabung, terutamanya semasa solat Jumaat, merupakan sumber utama operasi masjid.

Memandangkan keadaan pandemik COVID-19 kini, pihak masjid juga telah mengambil langkah-langkah tambahan untuk membersihkan dan membasmi kuman di premis-premis.

"Pihak masjid juga mengambil langkah tambahan untuk memastikan kemaslahatan para jemaah dengan membeli termometer tanpa kontak, sanitiser tangan dan sabun," tambah MUIS.

"Ini semuanya adalah perbelanjaan yang perlu demi membuat persediaan bagi pembukaan masjid nanti."

Perbelanjaan tersebut adalah tambahan kepada kos biasa bagi menampung 2,000 kakitangan termasuk Pegawai Agama Masjid (MRO), Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) asatizah aLive, imam, bilal, pentadbir serta noja yang digajikan masjid-masjid merata Singapura.

"Mereka adalah kakitangan barisan hadapan yang menemui ribuan jemaah setiap minggu. Mereka memainkan peranan penting dalam menyemarakkan aspek keagamaan kehidupan di masjid," tambah MUIS lagi.

KERJASAMA DENGAN KULIAHSG

Dalam kenyataan pada Isnin, MUIS menarik perhatian bahawa para asatizah meneruskan usaha menganjurkan sebahagian kuliah menerusi wadah online.

KuliahSG, sebuah usaha 'ground-up' oleh dua individu, dibangunkan sebagai satu portal sehenti bagi pelbagai program online yang dihasilkan masjid-masjid.

"MUIS dan pihak masjid sangat menyokong inisiatif ini dan akan bekerjasama dengan KuliahSG, demi membantu masyarakat mendapatkan akses kepada kandungan online Islamik yang dihasilkan masjid dan para asatizah setiap hari," menurut MUIS.

Lebih 50 masjid sudah memuat naik 1,130 video secara online.

Pada 7 April lalu, Muis mengumumkan bahawa S$1 juta diketepikan untuk menyokong masjid semasa tempoh penutupan sementara kerana COVID-19. MUIS juga meminta masyarakat untuk terus menyokong masjid dan asatizah semasa bulan-bulan yang mencabar ini.

CARA DERMA

Orang ramai boelh menyumbangkan derma mereka secara online ke laman https://ourmasjid.sg dengan menggunakan kad kredit atau debit, eNETS, PayNow dan GIRO.

Sumbangan berulang juga boleh dilakukan menerusi kad debit/kredit atau GIRO demi menyokong masjid-masjid dalam jangka panjang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan