Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS capai permulaan baik bangunkan Asatizah Masa Depan: Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zukifli berkata, permulaan baik telah dicapai ke arah visi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk membangunkan Asatizah Masa Hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zukifli berkata, permulaan baik telah dicapai ke arah visi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk membangunkan Asatizah Masa Hadapan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lawatannya ke Timur Tengah baru-baru ini yang menyaksikan jalinan kerjasama MUIS dengan Universiti Jordan serta kesediaan Universiti Al-Azhar untuk menyumbang kepakaran dalam membangunkan modul Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Sesi perbincangan bersama kumpulan pelajar di Mesir dan Jordan juga menghasilkan maklum balas berharga ke arah usaha tersebut.

Lawatan Encik Masagos meliputi Kaherah di Mesir dan juga Amman, Jordan.

Di Kaherah, Encik Masagos menemui Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Al-Tayyeb, dan juga Mufti Besar Sheikh Dr Shawki Ibrahim Abdul Kareem 'Allam.

Lawatan ke Amman pula menyaksikan pemeteraian mercu tanda kerjasama MUIS dengan Universiti Jordan untuk membangunkan bersama modul Program PCICS.

Encik Masagos berkata: "Pada awalnya mereka tidak faham mengapa kita harus membuat persiapan untuk mengadakan program yang kita idamkan iaitu PCICS.

"Tetapi setelah kami berbincang dengan pakar-pakar di Mesir dan juga di Universiti Jordan, mereka juga sedar bahawa apa yang diajar kepada pelajar-pelajar kita di sini merupakan subjek ataupun bidang mata pelajaran yang dasar."

Cabarannya, kata Encik Masagos, adalah untuk memastikan para pelajar dilengkapkan dengan pengajian yang sesuai dengan konteks Singapura.

Dalam hal ini, kedua-dua Sheikh di Mesir dan para pemimpin Universiti Jordan memahami tentang perlunya bimbingan bagi para pelajar yang mendapatkan pengajian di luar negara.

"Mereka belum tahu lagi tentang hal-hal yang khusus berlaku dalam konteks masyarakat Singapura.

"Jadi mereka perlu datang ke Singapura, mereka perlu hidup di Singapura dalam jangka waktu yang terdekat ini supaya mereka lebih mengenali dan memahami tentang masyarakat kita dan apa yang perlu disesuaikan dalam bidang ilmu yang mereka mahu sama membentuk untuk PCICS bersama kami," kata Encik Masagos.

Menyentuh mengenai perjumpaan beliau dengan pelajar rakyat Singapura mengenai Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), Encik Masagos berkata beliau berpuas hati dengan maklum balas terbuka yang diberikan.

"Dari segi pertanyaan mereka itu menunjukkan masih ada lagi keraguan, kebimbangan. Kadang-kadang ada kesangsian tentang motif kenapa kita mahu wujudkan program seperti PCICS.

"Tapi jelas, tujuan kami hanya satu supaya masa depan asatizah kita yang menjadi aset yang penting dalam masyarakat kita itu terus terjamin dan juga masa depan mereka juga adalah masa depan yang cemerlang," katanya.

Encik Masagos menambah bahawa maklum balas daripada lawatan beliau itu akan dikumpulkan bersama dapatan daripada sesi-sesi selanjutnya oleh jawatankuasa COFA yang dipimpin Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan