Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS bersuara: Akan siasat, ambil tindakan sewajarnya laporan lelaki mengaku Nabi, amal 'nikah batin'

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (10 Nov) menegaskan, ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya, berhubung laporan mengenai lelaki yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (10 Nov) menegaskan, ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya, berhubung laporan mengenai lelaki yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin'.

MUIS menyatakan, ia "mengambil serius maklum balas awam mengenai perkara sebegitu" dan kini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat yang relevan supaya "tampil ke depan untuk membantu dalam siasatan mengenai hal ini".

Kenyataan MUIS itu, yang dikeluarkan kepada media dan laman Facebooknya, merujuk kepada laporan yang diterbitkan Straits Times semalam (9 Nov).

Laporan tersebut membongkar perbuatan seorang lelaki dalam lingkungan usia 50-an tahun, mengadakan kelas-kelas agama di rumah-rumah, sebuah pejabat di Jalan Sultan dan kini di tingkat dua sebuah restoran miliknya di kawasan bandar.

Lelaki berkenaan, yang sudah mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak, dikatakan mengaku sebagai Nabi dan mempunyai lima isteri menerusi 'nikah batin'. Dalam laporan ST itu, bekas suami wanita-wanita yang dikatakan "dirampas" lelaki tersebut, mendakwa ajaran-ajaran lelaki tersebut mencurigakan.

MUIS mengesahkan, Jawatankuasa Fatwa sudah bertemu dengan individu terbabit pada 2018 sebaik sahaja pihaknya dimaklumkan tentang kes itu, memandangkan "kegiatannya dalam aduan berunsur keagamaan".

"Dia menafikan melakukan sebarang kesalahan ketika itu dan hanya mengaku menawarkan perubatan batin. Jawatankuasa Fatwa selanjutnya mengeluarkan makluman rasmi kepadanya agar segera menghentikan kegiatan seperti itu kerana dia tidak ditauliahkan untuk melakukannya," menurut MUIS yang menambah bahawa lelaki itu tiada kelayakan mahupun berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Badan penguasa Islam itu seterusnya menyatakan, laporan artikel Straits Times mengemukakan dakwaan-dakwaan baru dan membimbangkan mengenai kegiatan lelaki terbabit.

"Sungguhpun MUIS tidak dapat mengesahkan sendiri jika semua itu benar-benar berlaku, amalan-amalan seperti melakukan 'nikah batin', berjudi untuk membantu orang lain, dan mengaku dirinya sebagai seorang Nabi, jelas menyimpang dan suatu putar belit terhadap ajaran Islam. Ia juga satu kesalahan untuk menganjurkan kelas agama tanpa berdaftar dengan MUIS," menurut badan itu lagi.

"Kami ingin mengingatkan masyarakat supaya melindungi diri dan keluarga dengan hanya mendapatkan bimbingan agama daripada mereka yang berkelayakan dan berdaftar untuk melakukan itu. Jika ada individu yang membuat dakwaan mencurigakan atau menyebarkan ajaran yang membuat anda ragu-ragu, sila periksa dengan MUIS atau Pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah, menerusi info [at] muis.gov.sg," tambah MUIS.

PPIS PRIHATIN PEMERKASAAN WANITA DIEKSPLOTASIKAN

Dalam pada itu, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) turut memberikan respons terhadap isu ini.

Dalam kenyataan medianya semalam (9 Nov), PPIS melahirkan rasa "bimbang" kerana laporan mengenai 'nikah batin' itu jelas menunjukkan konsep memperkasa seseorang dieksplotasikan meski ia seharusnya membantu memartabatkan kehidupan mereka.

"Hubungan antara isteri-isteri menerusi nikah batin berserah kepada seorang 'pemimpin spiritual' nyata mempersoalkan kaitan kami dengan pembelajaran dan mencari ilmu serta bagaimana kita boleh merubah atau mentafsirkannya kepada cara kehidupan kita. Ia boleh disalahtafsirkan," tulis PPIS.

Straits Times melaporkan, antara wanita yang dikenal pasti sebagai "isteri menerusi nikah batin" lelaki terbabit termasuklah, para lulusan universiti tempatan, seorang daripadanya merupakan eksekutif kanan pertubuhan Melayu Muslim tempatan.

"Konsep memperkasa wanita sesuatu yang diperjuangkan PPIS. Bagaimana kita mendefinisikan pemerkasaan banyak memberi tumpuan kepada sokongan dan membolehkan wanita membuat pilihan-pilihan tepat yang membantu mereka membezakan antara apa yang betul dan salah," tambah PPIS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan