Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS 50 tahun ke depan: Bukan kawal selia saja, perlu jadi 'pengupaya' kerana kerencaman ajaran Islam, fahaman

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun, tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyambut ulang tahunnya yang ke-50, tahun ini.

Namun bagi 50 tahun mendatang MUIS bukan sahaja perlu memainkan peranan selaku pengawal selia atau 'regulator', malah perlu juga memainkan peranan selaku pengupaya atau 'enabler', sedang masyarakat mengalami wujudnya kepelbagaian aliran Islam dan fahaman-fahaman yang semakin rumit.

Demikian pandangan Menteri Ehwal Masyarakat DIslam, Dr Yaacob Ibrahim selepas menyertai sesi Perbincangan MUIS50 yang menyentuh tentang kehidupan beragama masyarakat Islam Singapura petang tadi (20 Jan).

Dengan perubahan masa dan globalisasi, asatizah tempatan kini lebih terdedah kepada pelbagai ajaran Islam dari luar negara.

MUIS menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nity Farhana)

BANTU MASYARAKAT ISLAM LAYARI PERUBAHAN

Di Singapura sendiri, kehadiran fahaman-fahaman lain kian dirasai, menambahkan kerencaman dalam masyarakat Islam negara ini.

Dalam perubahan landskap keagamaan sebegini, Dr Yaacob Ibrahim berkata MUIS, sebagai badan agama utama Singapura perlu memainkan peranan yang berbeza.

MUIS kata beliau tidak boleh lagi sekadar menjadi pengawal selia sahaja, tetapi perlu juga menjadi pengupaya yang menyediakan masyarakat Islam dengan ajaran-ajaran Islam asas yang dapat membantu masyarakat Islam melayari perubahan ini.

Ini sekaligus membantu masyarakat bersikap lebih terbuka kepada pandangan yang berbeza.

"Saya rasa yang lebih penting adalah bagaimana kita memberi pandangan yang sihat tentang perbezaan ini kepada masyarakat kita bahawa kita tidak boleh menentukan satu yang baik, satu yang kurang baik tapi inilah perbezaannya.

"Dan yang lebih penting kita mendidik masyarakat kita untuk kita buat penilaian sendiri apa yang sesuai bagi diri kita. Kalau kita rasa ini sesuai, kita mengambil pandangan ini," Dr Yaacob memberitahu BERITAMediacorp.

"Saya rasa peranan MUIS adalah untuk bentangkan kepelbagaian yang ada dan mendidik masyarakat kita untuk membuat pilihan yang sewajarnya bagi mereka," tambah beliau lagi.

MUIS menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nity Farhana)

PERLU LIBATKAN GOLONGAN FAHAMAN BERBEZA

Bagi melibatkan lagi masyarakat dari golongan fahaman yang berbeza-beza, MUIS juga kata Dr Yaacob, perlu lebih melibatkan mereka demi manfaat masyarakat Islam secara keseluruhannya.

"Kita boleh menjemput mereka yang bukan sahaja dari mazhab Shafi'e, dari mazhab-mazhab atau pandangan-pandangan lain untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang kita ada, sumbangan mereka kepada perkara-perkara yang penting bagi masyarakat kita.

"Jadi saya rasa itulah cara bagi MUIS untuk kita memberi satu taklimat kepada masyarakat kita bahawa di Singapura ada kepelbagaian dalam masyarakat dan kepelbagaian itu sihat," ujar Dr Yaacob.

MUIS menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nity Farhana)

ASATIZAH TEMPATAN PERLU FAHAMI KONTEKS S'PURA

Selain masyarakat, golongan asatizah juga perlu diberi perhatian.

Sebagai sumber rujukan, para asatizah tempatan perlu memahami konteks kehidupan di Singapura dan bagaimana mereka menyesuaikan ajaran mereka mengikut konteks tempatan adalah penting.

Itulah juga kata Dr Yaacob prinsip yang akan diterapkan dalam kolej Islam yang bakal ditubuhkan di sini.

MUIS menyambut ulang tahunnya yang ke-50 tahun. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Nity Farhana)

Ia sama seperti kolej-kolej Islam di negara-negara seperti Amerika, Turki dan sebagainya, di mana menurut beliau para asatizahnya mempunyai pemahaman ilmu Islam yang mendalam dan pada masa yang sama memahami sekitaran tempatan mereka.

Acara perbincangan kali ini yang disertai 60 indvidu dari sektor swasta dan awam serta pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam adalah sebahagian daripada Siri Perbualan MUIS50.

Sebanyak 12 sesi sedemikian sudah dianjurkan dengan lapan lagi sesi bakal diadakan pada masa hadapan.

Buat pertama kalinya juga, orang ramai juga boleh memberikan maklum balas mereka tentang kehidupan beragama di Singapura, pendidikan Islam serta institusi masjid menerusi emel muis50 [at] muis.gov.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan