Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhd Khalis Samion dari RI lulus cemerlang GCE A, raih 5 gred 'A'

Jumlah rekod 93.3% pelajar lulus sekurang-kurangnya tiga gred kelulusan H2 berserta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan, dalam peperiksaan GCE 'A' tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhd Khalis Samion dari RI lulus cemerlang GCE A, raih 5 gred 'A'

Muhd Khalis Samion dari RI lulus cemerlang GCE A. (Gambar-gambar: Fariza Abdul Aziz/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Jumlah rekod 93.3% pelajar lulus sekurang-kurangnya tiga gred kelulusan H2 berserta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan, dalam peperiksaan GCE 'A' tahun lalu.

Keputusan tersebut sekali gus memecahkan kadar tertinggi sebelum ini 93.0% yang dicatatkan oleh kohort tahun 2015 bagi ukur tara yang sama.

Antara pelajar yang kembali ke sekolah masing-masing untuk mengambil keputusan GCE 'A' yang diumumkan hari ini (22 Feb) ialah Muhammad Khalis Samion.

Wajah pelajar Raffles Institution itu yang kelihatan berdebar-debar sementara menantikan keputusan peperiksaannya, akhirnya bertukar menjadi riang setelah akhirnya melihat slip kertas keputusannya.

Khalis tidak menyangka perjalanan yang beliau tempuh selama enam tahun lalu di RI, berakhir dengan noktah cukup memuaskan.

Dia bukan sekadar lulus kesemua enam subjek yang diambilnya malah mencatat lima gred A termasuk bagi Kertas Am H1, Ekonomi H2 dan Matematik H2.

Khalis sekali gus tergolong dalam kalangan 12,170 pelajar GCE 'A' kohort 2018, yang meraih sekurang-kurangnya tiga kelulusan H2.

"Perlu banyak bersabar berada di sini. Tetapi nak katakan Raffles Institution ini sekolah yang susah, sekolah untuk yang pandai-pandai, pun tidak begitu benar juga. Ada peluang untuk semua untuk berjaya dalam bidang masing-masing di sini," ujar Khalis.

IMPIAN MENUNTUT DI RI HAMPIR TIDAK KESAMPAIAN, TAPI...

Berasal daripada keluarga yang bukan senang, Khalis hampir gagal memasuki sekolah idamannya ini kerana berdepan dengan masalah untuk membiayai yuran sekolah yang tinggi.

Mujur dengan bantuan kewangan yang disediakan RI, beliau mendapat sehingga 100% subsidi yuran di bawah Biasiswa Sekolah Bukan Pemerintah sepanjang tempoh persekolahanya di sini.

Bahkan, untuk membantu menampung kos perbelanjaan hidup dan akademik, Khalis juga menerima Biasiswa Raffles bernilai sehingga $3,000 setiap tahun.

Nyata, Khalis membuktikan bahawa dia tidak sesekali mensia-siakan peluang yang hadir bukan calang-calang itu.

"Dalam mana-mana pilihan yang ingin dilalui pun tidak semuanya akan mudah. Pasti ada cabarannya jadi yang paling penting itu adalah bagaimana kita harus bangkit daripada cabaran tersebut," kongsi Khalis kepada BERITAmediacorp.

RAJIN TABUR BAKTI, BIMBING KANAK-KANAK MEMERLUKAN DALAM PELAJARAN

Selain cemerlang dalam pelajaran, Khalis juga bergiat aktif dalam unit Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) sebagai Inspektor Kadet.

Bahkan Khalis bukan setakat pelajar bijak.

Dia juga seorang belia berjiwa masyarakat kerana rajin mencurah bakti di Kelab Masyarakat Toa Payoh East, dengan membimbing kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik, lantaran berpegang teguh kepada prinsip - pendidikan adalah kunci kejayaan hidup.

Kini dengan keputusan cemerlang di tangannya, Khalis ingin mengejar cita-citanya menjadi seorang guru dengan memohon untuk Biasiswa Mengajar bersama Kementerian Pendidikan (MOE).

PERUBAHAN BAGI LULUSAN GCE 'A' ,ULAI TAHUN INI

Secara keseluruhannya menurut MOE, lebih 13,040 pelajar menduduki GCE A di peringkat nasional tahun lalu.

Mulai tahun ini, lulusan peperiksaan GCE 'A' yang mahu melanjutkan pelajaran mereka ke politeknik boleh terus mara ke semester kedua dalam pengajian tahun pertama dengan pilihan dari lebih 100 kursus.

Ini bermakna mereka boleh menamatkan pengajian diploma politeknik setahun lebih awal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan