Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhd Khairool Haque, Siti Muliyanti diiktiraf dengan dua anugerah atas pencapaian cemerlang di NIE/NTU

Pernah bekerja dalam bidang IT bagi sektor swasta selama tiga tahun, Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir memberanikan diri untuk bertukar bidang kerjaya sebagai seorang guru adjung pada 2018.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pernah bekerja dalam bidang IT bagi sektor swasta selama tiga tahun, Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir memberanikan diri untuk bertukar bidang kerjaya sebagai seorang guru adjung pada 2018.

Setahun kemudian, beliau mengikuti pengajian di NIE/NTU, didorong juga oleh minatnya dalam bidang sastera dan penulisan puisi dan syair.

Minatnya untuk berkongsi ilmu sebagai seorang guru itu turut terserlah apabila Khairool, 29 tahun, kini bukan sahaja menggenggam sijil Diploma dalam bidang Pendidikan, beliau juga meraih dua anugerah atas prestasi cemerlangnya di NIE/NTU.

Dua anugerah itu ialah Pingat Emas Ulang Tahun ke-75 Rotary International dan Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Pingat Emas Ulang Tahun ke-75 Rotary International itu dianugerahkan kepada guru yang mempamerkan sifat kepimpinan yang cemerlang serta dedikasi kepada kegiatan pelajar di NIE atau khidmat kepada masyarakat.

Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura pula diberikan kepada guru dengan kelakonan terbaik dalam pengajian Diploma bidang Pendidikan (Pengkhususan Bahasa Melayu).

Khairool berkongsi: "Dengan kita masuk ke dalam bidang pendidikan, ia akan membolehkan saya untuk menyumbang secara langsung kepada pemerolehan bahasa para pelajar.

"Apa yang kita inginkan adalah pelajar itu cinta kepada bahasa, melihat Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang relevan, sebagai bahasa yang mempunyai manfaat terhadap perkembangan diri mereka sebagai seorang manusia, itu yang paling utama bagi saya."

Meskipun Khairool pernah mengarang dua buku puisi bertajuk 'Anak Waktu Belajar Diam' dan Iftitah' dan sebuah buku syair bertajuk 'Syair Asas Ugama', guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Clementi ini akur beliau harus "banyak lagi belajar dan banyak lagi duduk di bawah bimbingan para guru yang mapan".

Malah beliau juga berhasrat untuk menyumbang sudut pandangan baru dengan perspektif yang segar dalam pendidikan bahasa Melayu menerusi minatnya itu.

GURU PENDIDIKAN JASMANI: SITI MULIYANTI

Bagi lulusan ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains (Pendidikan), Siti Muliyanti Abdul Rahman pula, pengiktirafan yang diterimanya itu memberi beliau "semangat dan keyakinan" untuk terus melakukan yang terbaik buat murid-muridnya.

Ini meskipun pada mulanya, guru berusia 25 tahun akur "terkejut" apabila diberitahu beliau akan menerima anugerah Hadiah Buku Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura bagi "Instructional" (Pedagogi) dan Hadiah Buku Sport Singapore (Sains Sukan).

Beliau kini seorang guru Pendidikan Jasmani dan Matematik di Sekolah Tinggi Maris Stella bagi sekolah rendah.

"Saya ingin memberikan peluang kepada murid-murid saya untuk mempertingkatkan diri mereka dan rasa selesa dan gembira untuk datang ke sekolah. Saya percaya bahawa sekolah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan seseorang.

"Justeru itu motivasi saya adalah supaya murid-murid saya gemar datang ke sekolah dan juga untuk menyediakan mereka dengan alat-alat yang boleh menolong dalam pembangunan mereka," kata Siti.

Walaupun kini kelas Pendidikan Jasmani yang diadakan secara fizikal kian terhad, Siti yakin kelas-kelas yang dilakukan menerusi pembelajaran dari rumah dapat terus dipertingkatkan.

Malah Siti dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Jasmani Sekolah Tinggi Maris Stella juga cuba untuk menerapkan unsur-unsur realiti tambahan dalam pendidikan luar darjah.

36 GURU TERIMA ANUGERAH

Dalam kalangan guru baru yang menerima watikah pelantikan mereka hari ini, 36 daripada mereka diiktiraf atas pencapaian cemerlang masing-masing.

Khairool dan Siti pula antara sembilan guru yang menerima lebih daripada satu anugerah.

Pencapaian kedua-dua guru baru ini diharap dapat menjadi pemangkin dan pembakar semangat buat mereka untuk terus menambah nilai kepada sistem pendidikan.

6 guru lain yang turut diiktiraf atas pencapaian cemerlang mereka ialah:

Sarjana Muda dalam bidang Seni (Pendidikan)

- Mustika Alyssa Mohamed Isa
(Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura)

- Nur Amira Rahim
(Hadiah Buku Graduan Persatuan Universiti Nanyang)

Diploma dalam Pendidikan Jasmani

- Muhammad Fikri Fazil
(Anugerah NIE)

Diploma dalam Pendidikan Seni

- Tiara Sabrina Razali
(Hadiah Buku Yu She Yuen)

Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (Sekolah Rendah)

- Nabilah Ithnin
(Pingat Emas NIE)

- Almira Farid
(Hadiah Peringatan Wong Hee Hua) 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan